1 kematian, 14 kes baru Covid-19

PETALING JAYA: Satu lagi kematian Covid-19 dilaporkan hari ini, ia adalah kematian ke-2 daripada kluster Tawar.

Ini merupakan hari ke-3 berturut-turut kematian Covid-19 dilaporkan, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 128 orang setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kematian terbaru itu membabitkan warganegara berusia 80 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit barah paru-paru dan darah tinggi.

Katanya, wanita itu yang meninggal dunia pada 10.38 pagi tadi, ialah satu daripada kes positif yang dilaporkan pada 15 Ogos lalu dalam kluster Tawar.

“Beliau mula mengalami simptom pada 6 Ogos dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang pada 14 Ogos selepas didapati positif Covid-19.

“Kesihatannya semakin merosot dan beliau bergantung kepada bantuan pernafasan mulai 24 Ogos,” kata Hisham dalam sidang media hari ini.

Hisham berkata, 14 kes baru Covid-19 dicatatkan hari ini membabitkan 9 kes jangkitan tempatan dan 5 kes import.

Beliau berkata, semua 5 kes import membabitkan warga asing, manakala kes penularan tempatan membabitkan 5 warganegara dan 4 warga asing.

Bagi 5 warganegara dalam kes jangkitan tempatan, katanya, masing-masing terdiri daripada satu kes dalam kluster Tawar dan kluster Telaga serta 3 lagi kes daripada kluster baru di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata, 151 pesakit Covid-19 masih dirawat di seluruh negara dengan 3 daripada 5 orang yang sedang dirawat di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, 21 pesakit sembuh hari ini, menjadikan keseluruhan 9,075 kes pulih daripada 9,354 kes positif Covid-19.