31 Ogos cetus kebencian ‘negeri bawahan’, kata aktivis

 Dalam kalangan rakyat Malaysia Timur persoalan mengenai tarikh yang tepat bagi Hari Kebangsaan masih berlegar

PETALING JAYA: Bagi kebanyakan rakyat, 31 Ogos adalah tarikh keramat kerana memperingati kemerdekaan negara – tetapi naratif lain mengenai Hari Merdeka sebagai penghinaan terhadap rakyat Malaysia Timur terus berlegar setiap tahun.

Bagi saintis politik dan aktivis sosial Chandra Muzaffar, isu itu jauh lebih mendalam bukan sekadar tidak bersetuju mengenai tarikh berkenaan. “Berhenti berdebat mengenai tarikh itu dan hadapi masalah sebenarnya,” katanya.

Chandra berkata, kebencian di Malaysia Timur berpunca akibat layanan tidak adil terhadap rakyat Sabah dan Sarawak sejak kewujudan Malaysia.

“Mereka menjadi negeri bawahan di Malaysia dan bukannya setaraf,” katanya.

Rakyat Malaysia Timur berpendapat tidak logik menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos – hari Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957 – kerana Malaysia, yang terdiri daripada Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura hanya wujud secara rasmi pada 16 September 1963.

“Ketika kali pertama bergabung dengan Tanah Melayu, jangkaan mereka adalah mendapat autonomi mentadbir negeri mereka seperti diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963. Namun, sejak itu hak mereka terhakis,” kata Chandra.

Katanya, walaupun negeri itu menjadi sebuah keluarga, tiada komunikasi yang cukup antara Malaysia Timur dan Barat. “Ada keperluan untuk interaksi yang lebih besar dalam semua peringkat, bermula dari kegiatan sukan dan budaya sehinggalah menguruskan jabatan kerajaan dan agensi pusat.”

Rakyat Sabah dan Sarawak perlu diberi lebih banyak peluang untuk berkhidmat dengan badan kerajaan dan agensi di Malaysia Barat. “Ini 1 perkara yang tidak boleh kita abaikan kerana ia boleh menjejaskan kepentingan seluruh negara pada masa akan datang,” katanya.

Rakyat juga mempunyai pengetahuan yang minimum antara 1 sama lain. Ini mesti diubah, katanya.

Isytihar penemuan Kabinet mengenai MA63, kata pembikin filem

Lebih banyak kerjasama diperlukan di seberang Laut China Selatan, terutama untuk mengagihkan keuntungan sama rata daripada sumber semula jadi Malaysia Timur.

Pembikin filem Sabah Nadira Ilana antara lain turut merasakan “kita akan selalu bertengkar, bukan hanya terhadap fakta tetapi semantik” kerana cara sejarah yang diajar di Malaysia.

“Sebagai contoh, 22 Julai 1963, adalah hari penentuan sendiri negeri Sarawak. Tetapi 31 Ogos 1963 juga disambut di Sarawak sebagai Hari Kemerdekaan mereka.

Persoalannya hari ini adalah: apakah kita menyambut ulang tahun Merdeka, atau Hari Malaysia, atau kita menggunakan acara tersebut untuk memeriksa kebebasan kita?” soalnya.

“Sejarah adalah mengenai perspektif,” katanya. “Masalah dengan Malaysia ialah media, sejarah dan sistem pendidikan kita diceritakan hampir secara eksklusif melalui lensa Semenanjung.

“Cara terbaik untuk menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia adalah dengan menekan kerajaan untuk menyatakan hasil penemuan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Perjanjian Malaysia 1963, yang masih diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi!”