Amanah kepada rakyat lebih penting daripada jawatan PM, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini.

KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin berkata, amanah yang diberikan kepadanya untuk memimpin negara lebih penting daripada jawatan perdana menteri.

Katanya, terpulang kepada rakyat untuk menilai prestasinya sebagai perdana menteri kerana beliau sudah melakukan yang terbaik.

“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai pencapaian kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan saya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini.

“Ya, saya telah melakukan sebaik mungkin untuk melunaskan tanggungjawab saya kepada rakyat, tetapi bukanlah hak saya untuk mengatakan sama ada saya telah melakukan yang terbaik, rakyatlah yang paling berhak menilai.

“Dari mula saya menjawat jawatan perdana menteri, saya bertawakal kepada Allah. Bagi saya, kedudukan saya tidaklah penting, tetapi bagaimana saya menjalankan amanah kepimpinan itulah yang paling utama.”

Beliau berkata, amanah mentadbir negara ialah ujian buat dirinya.

“Saya mesti melakukan perkara yang betul. Saya tidak boleh sekali-kali berkompromi kepada hal prinsip.

“Saya bertanggungjawab kepada rakyat. Menteri-menteri yang saya lantik juga bertanggungjawab kepada rakyat. Jika kami gagal memikul amanah kepada rakyat dengan baik, kami akan dipersoalkan oleh rakyat. Itu prinsip paling utama.”

Katanya, kerajaan PN tidak mempunyai sebarang manifesto atau akujanji untuk dibentangkan kepada rakyat kerana ia dibentuk mengikut peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan, bukannya berdasarkan keputusan pilihan raya umum seperti biasa.

“Tanpa manifesto, saya fikir agak sukar untuk saudara-saudari menilai pencapaian kerajaan.

“Bagus juga tidak ada manifesto, boleh buat apa saya suka (untuk kebaikan rakyat), dulu (Pakatan Harapan) ada manifesto, tetapi tidak dilaksanakan.

“Namun, ini tidak bermakna saya boleh melakukan sewenang-wenangnya. Tiada manifesto bukan bermakna tiada kebertanggungjawaban atau akauntabiliti kepada rakyat. Akauntabiliti sebagai pemimpin tetap ada.”

Hadi terawal sokong saya

Muhyiddin berkata, Abdul Hadi Awang ialah ahli Parlimen pertama yang menandatangani akuan bersumpah bagi menyokongnya menjadi perdana menteri selepas Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan Februari lalu.

“Antara yang paling awal menyokong saya ialah Abdul Hadi Awang, ahli Parlimen Marang dan presiden PAS yang ada di sini pada hari ini. Terima kasih saya ucapkan.”

Katanya, 6 bulan pentadbiran kerajaan PN ialah jangka singkat untuk dinilai pencapaiannya.

“Dalam keadaan biasa, 6 bulan umpama tempoh percubaan atau ‘probation period’. Sudah pasti tempoh yang lebih lama diperlukan untuk membuat penilaian lebih komprehensif tentang pencapaian sesebuah kerajaan.”