BTS jadi artis K-pop pertama ungguli carta Billboard Hot 100 menerusi ‘Dynamite’

‘Dynamite’ yang merupakan lagu berbahasa Inggeris pertama BTS, mendapat sambutan hangat sejak dikeluarkan 21 Ogos lalu, dengan video muziknya di YouTube mencatat 101.1 juta tontonan dalam tempoh 24 jam. (Gambar Facebook)

BTS menjadi artis Korea Selatan pertama yang menduduki tangga pertama di carta lagu utama Billboard Amerika Syarikat pada Isnin, lapor agensi berita Yonhap.

“BTS meraih no 1 pertama di carta lagu Billboard Hot 100 menerusi ‘Dynamite’,” lapor Billboard pada Isnin, sehari sebelum carta itu dikemas kini.

Sebelum ini, artis Korea Selatan yang menduduki carta tertinggi di Hot 100 (100 Terhebat) adalah artis solo PSY menerusi hit viralnya pada 2012 “Gangnam Style” di tangga ke-2.

Satu-satunya artis Asia yang mencapai tangga Hot 100 terdahulu adalah penyanyi Jepun, Kyu Sakamoto dengan lagu “Sukiyaki” pada 1963.

BTS menduduki tangga teratas album utama Billboard, Billboard 200, 4 kali sejak Mei 2018, bermula dengan lagu “Love Yourself: Tear” diikuti “Love Yourself: Answer”, “Map of the Soul: Persona” dan “Map of the Soul: 7” berturut-turut.

Namun, menerusi carta Hot 100, kumpulan itu berjaya naik ke tangga ke-4 dengan lagu “ON”, trek utama daripada album “Map of the Soul: 7” yang dikeluarkan Februari lalu. “Boy With Luv” pula menampilkan penyanyi AS, Halsey yang naik ke tangga ke-8 pada April 2019.

Dengan 265,000 muat turun (daripada keseluruhan 300,000 pada minggu pertama, termasuk versi fizikal cakera vinil dan kaset), “Dynamite” muncul dengan jualan digital mingguan terbesar sejak 16 Sept 2017, ketika “Look What You Made Me Do” oleh Taylor Swift dengan 353,000 muat turun, lapor Billboard.

BTS meraikan kejayaan itu melalui media sosial di Korea Selatan pada awal Selasa lalu, ketika berita itu disiarkan. Ia juga merupakan ulang tahun kelahiran ahli termuda BTS, Jungkook.

“Tahniah rakan-rakan di atas kejayaan Billboard no 1, saya gembira kerana anda semua,” tulis J-Hope di Twitter rasmi BTS.

J-Hope menulis: “Dan ARMY! Anda tahu kami sangat menyayangi dan mengucapkan terima kasih kepada anda semua. Anda juga patut mendapat ucapan tahniah,” merujuk pangkalan peminat global kumpulan itu.

Kejayaan itu menyusul kejayaan BTS merangkul 4 trofi di Anugerah Video Muzik (MTV VMA) pada Ahad bagi kategori Pop Terbaik, Kumpulan Terbaik, Koreografi Terbaik dan K-pop Terbaik.

Menerusi lagu “ON”, BTS menjadi artis Asia pertama yang memenangi kategori Pop Terbaik di VMA, mengalahkan artis barat lain, termasuk Jonas Brothers, Justin Bieber, Lady Gaga, Ariana Grande dan Taylor Swift.

“Dynamite” yang merupakan lagu berbahasa Inggeris pertama BTS, mendapat sambutan hangat sejak dikeluarkan 21 Ogos lalu, dengan video muzik di YouTube mencatatkan 101.1 juta tontonan dalam tempoh 24 jam ia dikeluarkan, menjadikannya video muzik yang mendapat tontonan tertinggi pada hari pertama keluaran di platform berkenaan sehingga kini.

Kumpulan itu turut melakar sejarah menjadi artis K-pop pertama yang muncul di tangga pertama carta Spotify Global Top 50 dengan penstriman tertinggi 7,778,950 pada Jumaat lalu. Ia adalah rekod penstriman tertinggi oleh lagu K-pop di platform itu pada hari pertama lagu dikeluarkan tahun ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila e-mel ke [email protected]