Filipina hidup semula pejabat tuntut Sabah, kata setiausaha luar

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Teodoro Locsin Jr menegaskan Manila tidak akan berputus asa mengenai dakwaannya ke atas Sabah. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Teodoro Locsin Jr berkata, beliau akan menghidupkan semula sebuah pejabat di Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) yang dikhaskan sebagai usaha merebut semula Sabah.

Menerusi Twitternya semalam Locsin berkata, terdapat “biro lama dalam DFA yang secara eksklusif menumpukan perhatian pada masalah itu”, merujuk kepada Pejabat Hal Ehwal Borneo Utara.

“Ingin tahu adakah ia masih belum selesai. Akan menghidupkannya atau beri nafas baru,” katanya.

Locsin, yang membangkitkan semula kontroversi dengan menyatakan pada Julai bahawa Sabah “bukan dalam Malaysia”, juga mendakwa tawaran rasuah “besar” telah dibuat oleh calon presiden Filipina kepada pegawai selama bertahun-tahun untuk menggugurkan tuntutan mereka ke atas Sabah.

“Rakyat Filipina mesti tahu apa yang ditawarkan sangat besar sehinggakan niat untuk mengkhianati adalah tidak masuk akal,” katanya.

Dalam ciapan Twitter itu juga, beliau mendakwa terdapat tawaran yang kerap kali diulang oleh calon presiden yang bercita-cita sejak akhir 1970-an untuk menggugurkan tuntutan Filipina ke atas Sabah, dengan menambah calon itu biasanya berasal dari pembangkang dan memerlukan dana kempen.

Ia susulan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membuat keputusan membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320km Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport negara itu.

Filipina mempunyai tuntutan lama terhadap Sabah berdasarkan sejarah pemilikan Sultan Sulu yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara.

Malaysia sudah menegaskan tidak akan mengiktiraf dan memenuhi tuntutan mana-mana pihak terhadap Sabah, yang secara rasmi menjadi sebahagian daripada Malaysia ketika pembentukan negara itu pada 1963.

Misi tetap Malaysia untuk memaklumkan kepada PBB pada Jumaat lalu menyatakan Kuala Lumpur “tidak pernah mengiktiraf tuntutan Republik Filipina terhadap Sabah di Malaysia, yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara”.

Susulan kenyataan Locsin di Twitter pada Julai mengatakan Sabah bukan dalam Malaysia, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein membidas Locsin kerana mengeluarkan “kenyataan tidak bertanggungjawab yang mempengaruhi hubungan 2 hala”.

Ketika Locsin memberitahu media Filipina pada Khamis lalu bahawa beliau tidak mahu merosakkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, beliau, bagaimanapun, menegaskan Filipina tidak akan berputus asa berhubung tuntutannya terhadap Sabah.

“Walaupun kita selalu berusaha untuk memastikan ia tidak mempengaruhi hubungan dengan Malaysia, itu terserah kepada mereka tetapi kita pasti tidak akan pernah menyerah,” katanya.

“Sebagai penyambung kedaulatan kesultanan Sulu, Filipina mempunyai pemilikan sah dan kedaulatan atas Borneo Utara, atau apa yang saya panggil sebagai pulau tropika Borneo.”