Hamid jumpa Indira Gandhi Khamis ini

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador akan bertemu Indira Gandhi yang mencari anak perempuannya, Prasana Diksa sejak 2009.

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dijadual bertemu Indira Gandhi, bekas isteri Muhammad Riduan Abdullah yang diburu polis Khamis ini .

Pengerusi Kumpulan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy berkata, beliau gembira dengan keputusan Hamid, sambil menambah mereka tidak sabar untuk diberi penerangan mengenai siasatan polis berhubung kes itu.

Katanya, mereka juga mahu mendapatkan penjelasan mengenai kemaskini kementerian dalam negeri yang didedahkan di Parlimen baru-baru ini.

“Ingat bersedia untuk berkongsi beberapa maklumat mengenai siasatan selepas mendapat taklimat lengkap dan memuaskan daripada pasukan petugas khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kami berharap pertemuan ini akan menyelesaikan kes dan kisahnya secepat mungkin.”

Arun berkata, pertemuan itu juga akan dihadiri peguam yang juga aktivis Ambiga Sreenevasan, serta peguam bagi Indira dan Ingat.

Bekas suami Indira memeluk Islam pada 2009 sebelum menukar agama 3 anak mereka tanpa izin beliau.

Pada 2018 Mahkamah Persekutuan memutuskan tindakan itu bercanggah dengan undang-undang.

Anak perempuan mereka, Prasana Diksa, berusia kira-kira 1 tahun ketika Ridhuan melarikannya pada 2009.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan memerintahkan polis menahan Ridhuan dan memulangkan Prasana.

Tahun lalu mahkamah memerintahkan polis memburu Ridhuan, berikutan penubuhan 1 pasukan petugas khas bagi untuk tujuan itu.