Kami tak paksa ahli Warisan, PH sertai PPBM, kata Hajiji

Hussein Pg Ibnu Hassan (kiri) mewakili lebih 2,000 ahli Warisan di Kunak menyerahkan borang permohonan kepada Hajiji Noor (tengah) semalam.

KOTA KINABALU: Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor berkata, penyertaan beramai-ramai ahli Warisan dan Pakatan Harapan dalam parti itu kerana mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Shafie Apdal.

Oleh itu, beliau menepis dakwaan penyertaan ahli Warisan dan PH itu ialah propaganda politik.

“Penyertaan mereka secara sukarela tanpa sebarang paksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Ini adalah kenyataan dan bukan rekaan, kita tidak perlu buat gimik dan propaganda kerana PPBM semakin mendapat sambutan dan sokongan daripada rakyat Sabah.”

Beliau mendakwa lebih 2,000 ahli Warisan di Kunak menyertai PPBM dan majlis penyerahan borang permohonan itu yang diwakili Hussein Pg Ibnu Hassan diadakan di rumahnya di Kampung Jaya Baru, Kunak semalam.

Selain PPBM, Hajiji berkata, ahli Warisan dan PH itu turut menyertai parti komponen lain dalam Perikatan Nasional.

“Rakyat kini sedar pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lalu, mereka tersalah ubah dan kini mereka mahu ubah balik dan memberikan sokongan kepada PPBM dan PN pada pilihan raya negeri kali ini.

“Rakyat mahukan perubahan dan mahukan sebuah kerajaan yang mempunyai hubungan baik, sehaluan dan selari dengan kerajaan persekutuan.”