Kes mahkamah tidak jejas persiapan Peter Anthony hadapi PRN

Naib Presiden Warisan, Peter Anthony, ketika berucap di majlis bersama pengundi luar DUN Melalap di Kota Kinabalu semalam.

KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan, Peter Anthony, berkata, pertuduhan rasuah yang dihadapinya, baru-baru ini, tidak menjejaskan persiapan beliau menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Beliau berkata pertuduhan itu sama sekali tidak mematahkan semangat, mengingatkan mahkamah belum membuat keputusan sama ada bersalah atau tidak.

“Saya yakin rakyat tahu dengan taktik pihak lawan ini, kes ini sudah lama dan kenapa sekarang baru diungkit semula,” katanya ketika ditemui di majlis bersama pengundi luar DUN Melalap semalam.

Anthony didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas 5 pertuduhan pengubahan wang haram dan 1 pertuduhan bersubahat kes pecah amanah membabitkan dana lebih RM8.75 juta.

Sementara itu, Anthony mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi DUN Melalap di Tenom yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

“Masih banyak yang belum sempat dilaksanakan di kawasan itu dan saya harus melaksanakannya sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat sekali lagi.

“Kerajaan Warisan baru 2 tahun memerintah, kita tidak boleh bandingkan dengan yang sudah 60 tahun memerintah dan oleh sebab itu, saya berharap rakyat akan memilih kami lagi dan jika kami gagal melakukan perubahan dalam tempoh sepenggal selepas dipilih, maka terpulang kepada rakyat untuk membuat keputusan mereka,” katanya.

Pada PRU14, Anthony membuat penampilan pertamanya pada pilihan raya dan berjaya memecah dominasi Parti Bersatu Sabah (PBS) di Melalap apabila menang dengan majoriti 293 undi menewaskan 4 calon lain.