Kluster baru Covid-19 dikesan di balai polis Sabah

Kluster Benteng dikesan hasil saringan ke atas tahanan baru di lokap IPD Lahad Datu.

PETALING JAYA: Satu kluster baru membabitkan 7 kes positif Covid-19 dikesan di sebuah balai polis di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Benteng dikesan hasil saringan ke atas tahanan baru di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

“Sebanyak 7 kes dikesan positif dan 43 individu negatif, hasil saringan terhadap 50 tahanan.

“Kes positif itu membabitkan 6 pendatang asing tanpa izin dan seorang warganegara,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semua 7 individu itu sedang dirawat di Hospital Lahad Datu.

Katanya, pengesanan kontak sedang dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Beliau berharap inisiatif pasukan petugas kebangsaan (NTF) akan diteruskan dan diperkukuhkan dalam beberapa bulan.

NTF dianggotai Kementerian Kesihatan, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan.