Laluan alternatif Negeri Sembilan-Pahang sedang dikaji

Eddin Syazlee Shith. (Bernama pic)

KUALA PILAH: Satu laluan alternatif dari Seremban, Negeri Sembilan ke Kemayan, Pahang akan dibina bagi memudahkan pengguna untuk ke Pantai Timur dan ia kini dalam peringkat kajian, demikian kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Eddin Syazlee Shith.

Lebuh raya berkenaan dilihat mampu memendekkan jarak perjalanan selain meredakan aliran trafik yang sesak di laluan utama sedia ada menuju ke Pantai Timur.

“Buat masa ini kertas cadangan sudah ada cuma kita tidak mengetahui bila jangkaan untuk projek ini disiapkan. Saya berharap agar projek ini diteruskan kerana ia bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah dapat mempromosi produk pelancongan dan membangunkan ekonomi penduduk setempat,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis penyerahan sumbangan pengimbas haba kecerdasan buatan (AI).

Eddin berkata cadangan pembinaan lebuh raya berkenaan juga sebelum ini dipersembahkan kepada Agong Sultan Abdullah Shah yang ketika itu pemangku Sultan Pahang.

“Baginda mengalu-alukan projek pembinaan jalan raya tersebut memandangkan laluan Seremban-Pahang berbentuk landai berbanding jalan berbukit di sebelah Bukit Tinggi, Pahang selain menjadi pilihan pengguna,” katanya.