Lesen bank Islam pertama di Mauritius dibatalkan berkait dana 1MDB

Le Defi melaporkan siasatan oleh agensi anti-rasuah Mauritius, ICAC dan FBI menunjukkan berlaku banyak pemindahan dana haram melalui Century Banking Corporation. (Gambar Century Banking Corporation)

PETALING JAYA: Lesen bank Islam pertama di Mauritius dibatalkan bank pusat negara itu selepas siasatan FBI menunjukkan ia ada kaitan dengan pengubahan wang membabitkan dana 1MDB, lapor akhbar tempatan.

Akhbar tempatan, Le Defi memetik sumber sebagai berkata, Bank of Mauritius (BOM) membatalkan lesen Century Banking Corporation (CBC) selepas mendapati “sebahagiannya ada kaitan dengan skandal mega di Malaysia susulan sabitan Najib Razak”.

Julai lalu, bekas perdana menteri itu didapati bersalah atas 7 pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta milik bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

BOM pada Isnin membatalkan lesen CBC berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, CBC tidak membetulkan beberapa pelanggaran undang-undang perbankan di negara itu berkaitan keperluan modal, sistem kawalan dalaman, pematuhan kepada syarat anti-pengubahan wang dan anti-pembiayaan pengganas, serta tanggungjawab penyimpanan rekod.

Akhbar itu melaporkan siasatan oleh agensi anti-rasuah Mauritius, ICAC dan FBI menunjukkan berlaku banyak pemindahan dana haram melalui bank itu.

Ia turut mendapati sejumlah besar wang melalui akaun milik “penerima manfaat utama” yang dikatakan bersembunyi di Thailand.

Menurut laporan itu, ketua pegawai eksekutif CBC akan disoal siasat berhubung dakwaan kes pengubahan wang dari 1MDB.

“Agensi anti-rasuah akan soal siasat dia mengenai transaksi membabitkan beberapa juta dolar dari 1MDB di bank itu.”