Mahkamah Afrika Selatan larang azan ‘terlalu kuat’

Mahkamah Afrika Selatan memerintahkan sebuah masjid tempatan menghentikan penggunaan sistem pembesar suara luar untuk azan berikutan aduan daripada seorang jiran.

JOHANNESBURG: Mahkamah Afrika Selatan memerintahkan sebuah masjid tempatan menghentikan penggunaan sistem pembesar suara luar untuk azan berikutan aduan daripada seorang jiran, kata sebuah badan agama.

Pemimpin Islam berikrar mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi itu yang memerintahkan Institut Islam Madrasah Taleemuddeen di wilayah KwaZulu-Natal untuk “memperlahankan” azan yang disifatkan “terlalu kuat”.

Keputusan itu dijatuhkan pada Jumaat.

“Kami mendapati penghakiman itu adalah keputusan yang lemah,” kata ketua Jaringan Muslim Afrika Selatan, Faisal Suliman kepada AFP.

“Ini akan diadili hingga ke Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Chandra Ellaurie, yang beragama Hindu dan tinggal berhadapan masjid, meminta mahkamah melarang azan dan menutup institusi itu sepenuhnya.

Dia mengadu azan yang dilaungkan pada pukul 1:30 pagi menghalangnya menikmati hak tinggal di kediamannya.

Hakim mahkamah Sidwell Mngadi memutuskan jarak kediaman pemohon dengan masjid menyokong tuntutan pemohon yang “panggilan untuk solat mengganggu ruang peribadinya”.

Mahkamah memerintahkan supaya masjid memastikan panggilan untuk solat tidak didengari di kawasan rumah pemohon dan mengehadkan setiap azan kepada 3 minit.

Suliman berkata, ia adalah kes pertama melibatkan seseorang pergi ke mahkamah untuk menghentikan fasiliti agama daripada melaksanakan sebahagian daripada ritualnya.

Di Afrika Selatan, umat Islam membentuk hampir 2% daripada majoriti populasi yang beragama Kristian, menurut data rasmi.