Moratarium bersasar: Respon orang ramai belum memuaskan, kata timbalan menteri

PETALING JAYA: Respons orang ramai kepada moratorium bersasar masih belum memuaskan, walaupun kerajaan sudah melanjutkan bantuan itu bagi tempoh 3 bulan lagi.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata bank sudah bersedia untuk membantu dan memproses permohonan orang ramai, namun respons yang diterima tidak seperti yang diharapkan.

“Tarikh berakhirnya moratorium secara automatik berbaki 29 hari sahaja lagi,” katanya dalam kenyataan.

Shahar melaporkan dalam tempoh 2 minggu bermula 7 Ogos, sebanyak 139,424 bantuan bayaran balik pembiayaan untuk pelanggan individu diterima dan sebanyak 109,172 daripadanya mendapat kelulusan.

Bagi pelanggan PKS termasuk usahawan mikro, sebanyak 5,017 permohonan diterima dan 4,300 daripadanya mendapat kelulusan.

“Orang ramai dan PKS harus ingat bank memerlukan masa untuk memproses permohonan bantuan bayaran balik pembiayaan yang dikemukakan. Secara umumnya 1 hingga 5 hari untuk pelanggan individu dan 3 hari hingga 2 minggu untuk permohonan PKS,” katanya.