MTUC cadang B40, penerima pencen Perkeso dapat bantuan JKM

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata golongan pekerja B40 boleh dibantu dengan bantuan bulanan khas itu sehingga pandemik Covid-19 diisytiharkan terkawal dan vaksin sudah ditemui manakala penerima pencen Perkeso layak menerima bantuan secara kekal.

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan meluaskan bantuan kebajikan kepada 2 kategori B40 menerusi bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Setiausaha agungnya J Solomon berkata, 2 kategori itu adalah penerima pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kurang RM2,000 sebulan dan pekerja B40 yang mendapat gaji kurang RM4,000 sebulan.

Beliau berkata, golongan pekerja B40 boleh dibantu dengan bantuan bulanan khas itu sehingga pandemik Covid-19 diisytiharkan terkawal dan vaksin sudah ditemui manakala penerima pencen Perkeso layak menerima bantuan secara kekal.

“Pengakuan PM kategori pekerja ini yang paling terjejas membuktikan gaji minimum RM1,200 sebulan tidak lagi sesuai. Malah kerajaan turut menaikkan garis kemiskinan dari RM980 kepada RM2,208.

“Ini menunjukkan kategori B40 dibayar lebih rendah daripada yang sepatutnya mereka peroleh selama beberapa tahun. Kami mendesak kumpulan ini diberi elaun sehingga gaji minimum ditetapkan pada kadar RM2,700 seperti disarankan Bank Negara Malaysia pada 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, perdana menteri mengumumkan akan membawa usul supaya bantuan bulanan JKM yang berjumlah antara RM200 hingga RM300 bagi golongan sasar ketika ini dinaikkan kepada RM1,000.

Muhyiddin Yassin dipetik berkata, cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini bagi membantu golongan sasar termasuk B40.

Sambil menyambut baik cadangan itu, Solomon berkata, kerajaan harus memastikan kebajikan 15 juta pekerja diuruskan sebaik mungkin kerana ia membabitkan nasib keseluruhan rakyat.

“Semua rakyat akan memerhatikan sebarang perkembangan mengenainya esok dan berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin dengan skala luas untuk membantu golongan terjejas dalam kumpulan B40 yang hampir tidak dapat menampung kehidupan keluarga mereka,” katanya.

Beliau juga berharap cadangan Muhyiddin itu bukan gimik politik sempena pilihan raya negeri Sabah dan tidak seharusnya membabitkan tempoh panjang untuk dilaksanakan kerana kebanyakan rakyat kini dihimpit kenaikan kos sara hidup berikutan wabak Covid-19.

“Ia tidak memerlukan sebarang undang-undang diluluskan tetapi hanya keputusan Kabinet dan pekeliling dalaman sebaik sahaja Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan,” katanya.