PGA tahan 4 lelaki, rampas dadah RM830,000

Pasukan Gerakan Am (PGA6) menahan 4 tekong lelaki dan merampas 9.3kg syabu dianggarkan bernilai RM830,000 di jeti nelayan Parit Jawa pada 24 Ogos lalu.

MUAR: Batalion ke-6 Pasukan Gerakan Am (PGA6) menahan 4 tekong lelaki dan merampas 9.3kg dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM830,000 menerusi Ops Benteng di jeti nelayan Parit Jawa pada 24 Ogos lalu.

Pegawai Pemerintah PGA6 Rozasin Ramlan berkata, semua suspek berusia 38 hingga 43 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira 9 pagi selepas cuba menyeludup dadah berkenaan dari sempadan negara.

Beliau berkata, 2 daripada yang ditahan rakyat tempatan iaitu seorang penjawat awam dan penganggur yang bertindak sebagai tekong darat dan siasatan lanjut mendapati 2 lagi suspek iaitu warga asing merupakan tekong laut yang datang ke negara ini bagi mengambil bekalan dadah untuk dibawa ke negara asal mereka.

“Anggota PGA6 menahan semua suspek di jeti berkenaan dan hasil pemeriksaan menemui 9 bungkusan dadah diisi dalam beg hitam dan tidak sempat dibawa masuk ke dalam bot mereka.

“Hasil soal siasat ke atas 2 tekong warga asing itu mendapati mereka telah 2 hingga 3 kali melakukan penyeludupan menerusi laluan di sekitar Parit Karang hingga Parit Jawa,” katanya pada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Rozasin berkata turut dirampas kereta Proton Saga BLM dan sebuah bot jenis gentian kaca sepanjang 6.7m dianggarkan bernilai RM190,000.

Beliau berkata, suspek warga Indonesia itu juga tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan semua mereka direman selama 14 hari dari tarikh ditangkap bagi membantu siasatan bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sepanjang membuat tugasan Ops Benteng sejak 1 April lalu, PGA6 berjaya membuat beberapa siri tangkapan dan rampasan hasil risikan serta maklumat awam termasuk membabitkan tangkapan seramai 11 pendatang tanpa izin warga Indonesia berusia 25 hingga 52 tahun yang keluar dan masuk ke Malaysia menerusi lorong tikus.

“Dalam tempoh tersebut kita juga telah merampas 14.3kg dadah jenis syabu dipercayai cuba diseludup untuk pasaran negara jiran melalui jalan laut dengan hasil keseluruhan tangkapan dan rampasan bernilai RM2.324 juta.

“Anggota dan pegawai kami akan terus memantau dan bekerjasama dengan penduduk setempat bersama agensi penguat kuasa lain di bawah Pasukan Petugas Khas (NTF) bagi mengekang penyeludupan pendatang tanpa izin dan aktiviti penyeludupan lain yang menyalahi undang-undang,” katanya.