Selepas 6 bulan, Hadi nafi PN kerajaan tebuk atap

Abdul Hadi Awang menyifatkan kerajaan PN lebih baik dan positif berbanding pentadbiran PH.

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang hari ini menafikan Perikatan Nasional ialah kerajaan tebuk atap, sebaliknya ia ditubuhkan melalui sistem demokrasi berparlimen di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu berlawanan dengan kenyataannya pada Mac lalu yang berkata, kerajaan dibentuk PN dibuat secara tebuk ikut atap, bukannya kerajaan ikut pintu belakang.

“Perubahan dibuat melalui demokrasi berparlimen, bukan pintu belakang, tebuk atap tidak,” kata presiden PAS itu ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini.

“Melalui ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat, mempunyai jumlah ahli Parlimen yang cukup dan melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan prinsip Perlembagaan dan melalui proses demokrasi yang betul.”

Pada 10 Mac lalu, Hadi membuat kenyataan berkias itu di Facebook dan menggesa ahli PAS bersyukur kerana Allah mengurniakan peluang kepada parti berkenaan mengambil alih kerajaan.

“Ini adalah untuk mengambil alih pemerintahan melalui atap, bukan oleh pintu belakang. Tebuk atap,” kata ahli Parlimen Marang itu.

Hadi turut menyifatkan kerajaan PN lebih baik dan positif berbanding pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Banyak perbezaan yang boleh ditunjukkan. Kalau dahulu ketika PH, menteri-menterinya asyik sebut kerajaan dahulu dan apabila kita ambil alih (kerajaan), perbezaannya amat positif.

“Kewujudan PN sendiri adalah pencapaian terbaik, di mana kita berjaya menyatukan parti-parti Melayu dan parti lain yang menyokong PN serta mendapat dokongan rakyat.

“Malaysia diterajui kerajaan PN juga antara negara yang berjaya mengawal dan menangani Covid-19 serta diiktiraf dunia.”

Sementara itu, Hadi berkata, tindakan beberapa ahli Parlimen melompat parti untuk menyokong kerajaan PN ialah perkara baik demi menyelamatkan negara.

“Orang kata lompat parti ada yang baik dan ada yang tak baik. Lompat menghadapi bahaya untuk selamat, ia lompat yang baik. Lompat terjun kepada bahaya, itu tidak baik.

“Lompat untuk menyelamatkan kerajaan, untuk membentuk satu perubahan.”

Isu menteri ingkar perintah kuarantin 

Hadi berkata, pihaknya menyerahkan kepada undang-undang untuk menentukan isu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali tidak menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki Julai lalu.

Katanya, PAS mengutamakan isu moral dan tidak akan berkompromi dengan pemimpin parti terbabit dalam tindakan seperti maksiat.

“Yang penting moral dulu, kalau buat sesuatu maksiat yang bercanggah dengan lslam dan moral, kita pecat dia.

“Dalam PAS yang pertama adalah dari segi maksiat dulu, yang ke-2 kalau ada salah laku, itu kita serah kepada undang-undang.”