Speaker baru Dewan Negara dilantik esok

Jika terdapat lebih 2 nama dicalonkan untuk speaker Dewan Negara, undian perlu dilakukan sehingga seorang calon mendapat majoriti. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tumpuan hari pertama sidang Dewan Negara esok dijangka terarah kepada pelantikan speaker Dewan Negara ke-18 bagi menggantikan SA Vigneswaran yang tamat perkhidmatan 22 Jun lalu.

Mengikut Peraturan-peraturan Mesyuarat Majlis Dewan Negara, apabila jawatan yang dipertua kosong, maka ahlinya perlu memilih seorang calon.

Jika terdapat lebih 2 nama dicalonkan, undian perlu dilakukan sehingga seorang calon mendapat undi melebihi calon lain.

Selepas pemilihan itu, speaker dan 4 ahli Dewan Negara baru, iaitu Mohamad Apandi Mohamad (lantikan Dewan Undangan Negeri Kelantan), S Vell Paari (lantikan Yang di-Pertuan Agong), Ahmad Yahaya dan Othman Aziz (lantikan DUN Kedah) dijadualkan mengangkat sumpah.

Majlis angkat sumpah akan diadakan pada 9.45 pagi di Dewan Negara selepas urusan pemilihan speaker selesai.

Selaras perintah kawalan pergerakan pemulihan yang masih berkuat kuasa, persidangan kali ini sehingga 23 Sept ini akan diadakan mengikut SOP ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Ia termasuk pemakaian pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman serta penjarakan fizikal 1m antara tempat duduk semasa persidangan berlangsung seperti diputuskan mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Persidangan kali ini dijangka membahaskan 10 rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat yang bersidang sebelum ini.

Ia termasuk 3 RUU berkaitan Covid-19, iaitu RUU Langkah-langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, RUU Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dan RUU Insolvensi (Pindaan) 2020.