Tiada DNA asing ditemui pada mayat Nora Anne, saksi beritahu mahkamah

Nor Aidora Saedon ialah saksi ke-6 dalam prosiding inkues bagi mencari punca kematian remaja Ireland-Perancis, Nora Anne Quoirin. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Mahkamah Koroner Seremban hari ini diberitahu tiada DNA asing ditemui pada mayat remaja Perancis-Ireland, Nora Anne Quoirin, termasuk di bahagian sulitnya.

Pengarah Bahagian DNA Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Nor Aidora Saedon berkata, keputusan itu berdasarkan bahan bukti yang diberikan pihak berkuasa.

Saksi ke-6 dalam prosiding inkues bagi mencari punca kematian Nora Anne itu berkata, bahan bukti pertama ialah ujian swab atau calitan daripada ahli keluarga Nora Anne, manakala yang ke-2 daripada mayatnya dan terakhir ialah sampel yang diambil di tempat kejadian.

“Tugas saya adalah menganalisis eksibit dari tempat kejadian jenayah dan setahu saya, laporan pertama bernombor 19FRB18998 daripada eksibit pertama yang dihantar, semasa Nora Anne belum dijumpai.

“Oleh itu, anda akan lihat daripada beberapa calitan dan eksibit yang saya berjaya dapatkan profil telah dilabelkan sebagai ‘Individu Satu’.

“Laporan ke-3, 19FRB99139, semasa Nora Anne dijumpai dan kami dapat pastikan individu dalam laporan itu ialah Nora Anne, dan sudah tentu berdasarkan eksibit serta daripada analisis saya, kami tidak menemui sebarang DNA asing pada mayat Nora Anne,” katanya semasa memberi keterangan di depan Koroner Maimoonah Aid.

Semasa ditanya Maimoonah apa yang dimaksudkannya dengan tiada kehadiran DNA asing, Nor Aidora menjelaskan: “DNA asing pada mayatnya, malah daripada calitan, kuku atau rambut yang diambil bermaksud bukan milik Nora Anne.

“Sebagai manusia, kita biasanya meninggalkan DNA kita di sekeliling kita, oleh itu berdasarkan eksibit yang diambil, boleh diagak siapa yang meninggalkan bukti,” katanya sambil menjelaskan DNA bukan sesuatu yang boleh diubah.

Prosiding inkues akan berlangsung sehingga 4 Sept ini dengan 64 saksi akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan itu.

Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas beliau dan keluarganya tiba di Malaysia untuk bercuti selama 2 minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60km di selatan ibu negara.

Mayat Nora Anne ditemui 9 hari kemudian pada 13 Ogos, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5km dari resort penginapannya, susulan operasi pencarian besar-besaran pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat menunjukkan kematian remaja itu tidak mempunyai unsur jenayah dan beliau disahkan mati akibat kebocoran usus berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.

Inkues bersambung esok.