Judi haram dikesan beralih ke kedai kopi

Ketua Polis KL, Mazlan Lazim di majlis pelupusan barang kes judi haram hari ini. Polis mendapati judi haram beralih ke kedai kopi dengan penganjur menyamar sebagai pelanggan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Selepas premis perjudian diserbu dan bekalan elektrik dipotong, mereka kini beralih ke kedai kopi pula untuk beroperasi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim, berkata polis mengesan taktik baharu kegiatan perjudian dengan penganjur kegiatan itu menyamar sebagai pelanggan di kedai kopi sambil menggunakan peranti mudah alih untuk beroperasi, bagi menyukarkan kegiatan dikesan.

“Penganjur kegiatan itu dipercayai beralih kepada kedai kopi kerana premis asal dikenakan tindakan pemotongan elektrik yang banyak dilakukan polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak akhir-akhir ini.

“Mereka berbuat demikian kerana sedar jika mereka menyewa premis seperti dahulu, kita akan potong bekalan elektrik mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelupusan Barang Kes Perjudian Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di Balai Polis Alam Damai, Cheras.

Beliau berkata penggunaan kedai kopi sebagai tempat berjudi juga akan memudahkan mereka melarikan diri jika ada serbuan.

Setakat ini 51 premis yang menjadi pusat kegiatan perjudian dipotong bekalan elektrik sekitar bandaraya manakala 24 premis lagi turut akan dikenakan tindakan sama dalam masa terdekat.