Pangsapuri mewah Jackie Chan dilelong pada harga RM 43.7 juta

Chan popular di dalam dan luar negara sebagai penyanyi dan pelakon aksi, namun pernah dikritik susulan pandangan politiknya di Hong Kong. (Gambar Instagram Jackie Chan)

Dua unit pangsapuri mewah di daerah Dongmen dekat Beijing, China milik aktor aksi terkenal Hong Kong, Jackie Chan disenaraikan untuk lelong berikutan isu perselisihan hak milik.

Gabungan 2 unit pangsapuri mewah itu yang berkeluasan 1,217 meter persegi dengan 6 bilik tidur serta 3 ruang tamu dianggarkan bernilai 100 juta yuan (RM60.8 juta), lapor agensi berita tempatan Qingliu Studio.

Hartanah yang pernah diduduki keluarga Chan sejak 2007 itu difahamkan dilelong dengan harga bermula RM43.7 juta.

Kediaman itu bakal dibuka untuk bidaan bermula 28 September ini, menurut sebuah laman lelongan hartanah.

Laman itu turut melaporkan sudah lebih 600 pengguna berdaftar menunjukkan minat ke atas unit itu sejak Ahad lalu.

Dalam pada itu, rumah berkenaan difahamkan merupakan rumah yang sama dikaitkan dengan kes melibatkan anak lelaki pelakon itu, Jaycee Chan yang ditahan kerana memiliki dan mengedar dadah jenis ganja pada 2014.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]