Hentikan politik pecah-belah, Rafidah bidas parti Syed Saddiq

Bekas menteri Rafidah Aziz berkata, beliau menimba pengalaman daripada mereka yang membangunkan negara ini selepas menyertai politik ketika berusia 22 tahun.

PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk membahagikan rakyat antara golongan tua dan muda dalam politik, kata Rafidah Aziz hari ini sekali gus membidas rancangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menubuhkan parti orang muda.

Menyifatkannya sebagai satu lagi contoh “politik pecah-belah”, bekas ketua Wanita Umno itu berkata, rakyat Malaysia sudah pun terbahagi menurut garis kaum dan agama, lapor Malaysiakini.

“Saya tidak menerima idea itu. Jangan berpecah-belah dalam politik. Sama ada anda Melayu, India atau Cina. Kristian, Buddha, Muslim atau Hindu. Anda tahu bagaimana kita berpecah.

“Sekarang nak pecahkan antara orang tua dengan muda pula? Tidakkah kita sedia berpecah di negara ini? Tidak ada sesiapakah yang bercakap bahawa kita semua rakyat Malaysia?,” katanya di luar forum anti rasuah di Putrajaya hari ini.

Komen itu dibuat suulan kenyataannya dalam forum tersebut yang menyaksikan beliau mempersoal kualiti kepimpinan sesetengah ahli politik yang mahu menjadi pemimpin.

Rafidah bagaimanapun tidak menyebut nama ahli politik yang dimaksudkannya.

Dipercayai bekas menteri itu merujuk kepada bekas ketua Pemuda PPBM kerana beliau bercakap tentang “parti orang muda” yang mahu mengambil alih politik negara.

“Seolah-olah umur terlalu penting. Maaf, di sini silapnya (apabila pemimpin) mesti muda, bukannya pemimpin dengan ketrampilan,” beliau dilaporkan berkata.

Rafidah juga mengimbau perjalanan hidupnya dalam politik, bermula pada usia 22 tahun dan bagaimana beliau menjadi senator paling muda pada usia 30 tahun.

Beliau menyandarkan kejayaannya daripada pengalaman yang ditimba daripada ahli politik yang lebih berpengalaman.

“Saya belajar daripada orang-orang tua tersebut. Anggota Majlis Tertinggi (Umno), mereka seusia dengan ayah saya,” katanya kepada pemberita.

Beliau juga mempersoal kelayakan individu yang mungkin mempunyai senarai ijazah yang panjang, tetapi tidak mempunyai “otak dan pengalaman”.

“Pengalaman lebih penting. Saya boleh bercakap begini kerana saya memperoleh pengalaman daripada mereka yang membina negara ini,” katanya.

Komen Rafidah muncul pada hari yang sama dengan kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkata, parti Syed Saddiq tidak akan berjaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, tidak memadai untuk hanya bergantung pada sokongan orang muda.