Malaysia tak terburu-buru beli vaksin Covid-19

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata buat masa ini kerajaan masih menunggu negara pengeluar vaksin menjalankan ujian klinikal yang melibatkan 3 fasa, dengan fasa terakhir adalah ujian ke atas manusia.

PUTRAJAYA: Malaysia tidak terburu-buru dalam pembelian vaksin Covid-19 kerana mahu memastikan terlebih dahulu yang ia benar-benar berkesan dan selamat digunakan.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata buat masa ini kerajaan masih menunggu negara pengeluar vaksin menjalankan ujian klinikal yang melibatkan 3 fasa, dengan fasa terakhir adalah ujian ke atas manusia.

“Kita tunggu negara yang buat ujian klinikal seperti China yang membuat ujian di Emiriah Arab Bersatu dan Brazil. Russia pula belum pun sampai tahap ujian klinikal ke-3,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan pembelian vaksin Covid-19 oleh kerajaan susulan laporan sesetengah negara telah memulakan proses diplomasi bagi pembelian vaksin itu.

Beliau yang ditemui pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 hari ini berkata, kerajaan belum mula membeli vaksin dan masih menggunakan diplomasi sains serta akses kepada negara yang boleh mengeluarkan vaksin berkenaan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berhubung dengan pihak pengeluar vaksin dan negara yang sedang membangunkan vaksin berkenaan,” katanya.

Mengenai saringan Covid-19 di pasar awam, beliau berkata KKM telah membuat saringan terhadap peniaga di 464 pasar di seluruh negara yang melibatkan 36,919 sampel (swab) dengan 287 (0.8%) daripadanya didapati positif Covid-19.

“Saya hendak maklumkan pemeriksaan di pasar awam dilaksanakan berterusan kerana ini tempat sesak dan sempit. Kita tidak mahu ada kes Covid-19 di pasar,” katanya.