The Rock sekeluarga pulih Covid-19

Dwayne Douglas Johnson berkata, pengalaman dijangkiti Covid-19 merupakan perkara paling mencabar pernah dilaluinya keluarganya. (Gambar Instagram)

Pelakon Hollywood terkenal, Dwayne Douglas Johnson yang lebih dikenali sebagai “The Rock” memaklumkan beliau dan keluarganya sudah sembuh daripada Covid-19.

Dalam satu video yang dimuat naik ke Instagram, bekas ahli gusti itu berkata, isterinya, Lauren dan 2 anak perempuannya turut dijangkiti virus itu.

“Saya boleh katakan ini salah satu perkara yang paling mencabar dan harus kita harungi sebagai sebuah keluarga.

“Saya harap hanya saya yang positif, tetapi seluruh keluarga saya turut dijangkiti. Jadi, ini adalah perkara serius.”

Beliau mengingatkan peminatnya sentiasa berdisiplin dalam menjaga kesihatan diri dan keluarga bagi membendung penularan Covid-19.

“Sentiasa berdisiplin, tingkatkan sistem pertahanan badan dan beri komitmen pada kesihatan. Sentiasa pakai pelitup muka dan lindungi keluarga anda.”

The Rock terkenal menerusi beberapa filem seperti “The Scorpion King”, “Doom”, “Fast and Furious” dan “Jumanji”.

Selain The Rock, beberapa selebriti Hollywood seperti Tom Hanks, Idris Elba dan Madonna dilaporkan dijangkiti Covid-19.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila e-mel ke [email protected]