KJ sambut baik parti orang muda Syed Saddiq

Khairy Jamaluddin berkata, kemunculan parti baru Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah isyarat kepada parti sedia ada, termasuk Umno supaya memberi perhatian kepada generasi muda. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin hari ini menyambut baik parti orang muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan berkata, ia merupakan isyarat sistem demokrasi di negara ini sihat.

Bercakap di luar acara pelancaran program geran padanan impak sosial (SIM) bagi merangsang pemulihan aktiviti sosial Khairy berkata, asas demokrasi adalah persaingan sihat antara parti dengan semua orang dibenarkan menubuhkan parti politik.

“Kita harus alu-alukan ini.”

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata, golongan muda mahukan parti yang benar-benar mewakili mereka dan berharap parti Syed Sadiq mampu berbuat demikian.

Ahli Parlimen Rembau itu juga berkata, parti berasaskan orang muda merupakan isyarat kepada parti sedia ada, termasuk Umno supaya berubah untuk memenuhi tuntutan generasi muda.

Semalam bekas ketua Wanita Umno Rafidah Aziz menyifatkan parti orang muda Syed Saddiq sebagai contoh “politik pecah belah”, dengan berkata, Malaysia sedia berpecah menurut garis kaum dan agama.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga tidak memandang tinggi prospek parti itu berjaya dalam pilihan raya umum akan datang.

“Dalam mana-mana kawasan pilihan raya, ada pengundi tua dan muda. Kami (dalam Pejuang) akan menarik orang muda juga, tetapi jika dia hanya menarik orang muda, sukar baginya untuk berjaya,” katanya.

Berhubung gangguan bekalan air berikutan penutupan loji rawatan air di Selangor kerana pencemaran, Khairy berkata, undang-undang sedia ada perlu disemak semula.

“Saya fikir undang-undang sedia ada berhubung mereka yang melakukan pencemaran tidak memadai. Saya berharap kementerian berkaitan hendaklah berbincang dengan Kabinet untuk menambah hukuman ke atas pihak yang mencemarkan sumber air. Ini jenayah serius.”

Beliau berkata, sampel air dari sungai yang tercemar telah diambil untuk dianalisis dan tindakan lanjut akan diambil terhadap pesalah.

Geran SIM adalah inisiatif di bawah pelan pemulihan ekonomi jangka pendek kerajaan (Penjana) bagi menyokong usaha sosial tempatan dan syarikat dengan impak sosial lain untuk meneruskan inisiatif serta programnya.

Beliau berkata, geran itu diberikan melalui mekanisme padanan 1-1 dan ditawarkan kepada pemohon yang layak dengan inisiatif yang berjaya.

“Ia menyediakan geran padanan bernilai minimum RM5,000 dan maksimum RM500,000 bagi setiap permohonan.

“Geran ini akan membantu membina semula kehidupan komuniti yang terkesan oleh wabak Covid-19,” katanya.