Tubuh agensi persekutuan kawal sungai, kata ahli Parlimen

Pencemaran di loji rawatan air menjejaskan bekalan kepada 1.2 juta penduduk di Lembah Klang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen meminta 1 agensi pengawal selia persekutuan ditubuhkan bagi melindungi sungai susulan gangguan bekalan air di Lembah Klang disebabkan oleh pencemaran.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, gangguan air yang menjejaskan 1.2 juta penduduk, juga akan menyebabkan ekonomi terjejas terus dengan banyak perniagaan, termasuk pengeluar dan restoran, tidak dapat beroperasi tanpa air.

“Masalahnya adalah sistem, ini bukan kesalahan Air Selangor,” katanya kepada FMT. “Ya, itu bergantung kepada penguatkuasaan tetapi agensi persekutuan dan negeri juga kekurangan sumber tenaga dan wang untuk menangani atau mencegah setiap tindakan pencemaran. ”

Beliau yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, terlalu banyak agensi dan pihak berkuasa yang terlibat dalam perlindungan sungai, dan kurangnya koordinasi antara mereka.

Bekas Pengerusi SPAN Charles Santiago

“Apa yang kita perlukan adalah 1 pihak berkuasa persekutuan yang tugasnya menjaga sungai saling berkaitan dan sumber yang semakin berkurangan akibat pencemaran dan perubahan iklim.

“Sebanyak 95% keperluan air kita berasal dari sungai. Ia penting untuk kehidupan dan perniagaan tetapi sungai menjadi tempat pembuangan sampah, sisa, plastik, pembetungan dan bahan kimia,” katanya.

Santiago berkata, sungai perlu dianggap sebagai kawasan keselamatan nasional dengan zon penampan sekitar 200m pada kedua-dua bahagian. “Tentera dan polis boleh ditugaskan untuk memantau daerah-daerah ini, teknologi seperti CCTV dan sensor dapat dipasang untuk mencegah pencerobohan.”

Ini bermaksud tidak ada kegiatan ekonomi seperti, kilang, ladang atau perniagaan boleh didirikan di kawasan penampan. “Oleh itu, tidak ada alasan bagi siapa pun untuk menceroboh kawasan berkenaan dan risiko lebih rendah terhadap aliran air dari sisa atau sampah yang masuk ke sungai,” katanya.

Santiago berkata, beliau melihat beberapa negeri menolak cadangan itu kerana mereka menganggapnya sebagai melepaskan pendapatan negeri.

“Mereka boleh mempertahankan hak untuk memperoleh pendapatan, tetapi memiliki badan pengawal selia adalah perkara lain. Ia mesti pihak berkuasa bebas yang menajwab kepada Parlimen bukannya pihak berkuasa negeri berbeza.

“Kerajaan negeri mesti menyokong inisiatif persekutuan seperti ini, pencemaran sungai juga berlaku di negeri lain dan bukan hanya di Selangor,” katanya.

Katanya, kerajaan tahu apa yang perlu dilakukan, namun kekurangan kemahuan politik menyukarkan hasil positif.

Ketua Penerangan Umno Shahril Suffian Hamdan

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Shahril Suffian Hamdan turut menyifatkan ia sebagai kegagalan sistem dengan berkata, walaupun sebahagian besar kesalahan terletak pada kerajaan negeri, kerajaan persekutuan seharusnya lebih proaktif.

Shahril mencadangkan jawatankuasa dipengerusikan oleh menteri alam sekitar dan air dan menteri besar Selangor. Jawatankuasa itu akan terdiri daripada agensi negeri dan persekutuan termasuk pihak berkuasa tempatan, SPAN, jabatan alam sekitar dan Lembaga Urus Air Selangor.

“Jawatankuasa ini boleh bermesyuarat setiap 2 minggu untuk memantau setiap aspek bekalan air. Jika ada masalah, mereka boleh bertindak dan menjelaskan keadaan kepada rakyat. ”

Beliau berkata, rakyat mahu melihat penyelesaian bukannya berterusan berpolitik.