Penguasaan BTS di carta Billboard dijangka bawa impak ekonomi AS$1.43 bilion

Minggu lalu, BTS menjadi kumpulan Korea Selatan pertama yang menduduki tangga pertama Billboard Hot 100 menerusi lagu berbahasa Inggeris pertamanya ‘Dynamite’. (Gambar Twitter)

Sebanyak 1.4 trilion won (AS$1.43 bilion) impak ekonomi dijangka diperoleh menerusi kemenangan kumpulan K-Pop terkenal, BTS di Billboard Hot 100 minggu lalu yang ditunjukkan data kerajaan pada Isnin.

Minggu lalu, BTS menerusi lagu berbahasa Inggeris pertamanya, “Dynamite” muncul nombor satu di carta single utama Billboard, menjadikannya penyanyi atau kumpulan Korea Selatan pertama yang mencapai kejayaan itu, lapor agensi berita Yonhap.

Menurut laporan yang diterbitkan bersama Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan dan Institut Kebudayaan dan Pelancongan Korea, pencapaian itu dijangka menghasilkan 1.23 trilion won dalam sektor pengeluaran dan 480 juta won nilai tambah.

Lebih 8,000 pekerjaan juga berkemungkinan diwujudkan dengan kedudukan BTS di tempat teratas carta Hot 100 itu.

Nilainya diukur menerusi gabungan pendapatan syarikat label kumpulan itu, Big Hit Entertainment, statistik kastam dan bank pusat serta data Trend Google.

Kajian itu menganggarkan Bit Hit akan meraih 245.7 juta won daripada penjualan global “Dynamite” berdasarkan pendapatan daripada album terdahulu kumpulan itu “Map of the Soul: Persona.”

Eksport barangan pengguna berikutan kemunculan “Dynamite” dijangka meningkat 371.7 juta won, termasuk 276.3 juta won daripada penjualan kosmetik di luar negara dan 74.1 juta won daripada makanan.

Kementerian itu berkata, ia mengecualikan kesan kedudukan di tangga teratas itu kepada industri pelancongan tempatan, seperti peningkatan pelancong asing ke Korea Selatan kerana pandemik Covid-19 mengganggu pelancongan ke luar negara selama berbulan-bulan dan menyebabkan pembatalan beberapa konsert.

Katanya, impak ekonomi yang dihasilkan prestasi luar biasa BTS mungkin berkembang lebih luas berikutan peningkatan imej dan nilai jenama Korea Selatan kemudiannya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]