Syarikat India jalin kerjasama dengan Akshay Kumar, lancar alternatif PUBG

Nama permainan mudah alih baru, FAU:G yang bakal menggantikan PUBG itu merupakan idea yang dicadangkan oleh aktor Bollywood, Akshay Kumar. (Gambar IG Akshay Kumar)

Selepas permainan dalam talian milik syarikat teknologi Tencent, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile diharamkan di India, sebuah syarikat bakal melancarkan permainan mudah alih alternatif.

Dikenali sebagai Fearless and United: Guards (FAU:G), pelancaran itu juga akan menyaksikan jalinan kerjasama dengan bintang Bollywood, Akshay Kumar.

“Permainan dalam talian itu dijangka memasuki pasaran India menjelang akhir bulan depan,” lapor Reuters memetik pengasas bersama nCore Games, Vishal Gondal.

Gondal berkata kemunculan Kumar, yang juga anak kepada seorang pegawai tentera, diyakini akan memberi nilai tambah selain menjangkakan permainan itu bakal menarik tumpuan sehingga 200 juta pengguna dalam tempoh setahun.

Katanya, nama permainan itu dicadangkan oleh Kumar sendiri yang juga membantu konsep asas permainan dalam talian itu.

“20% daripada hasil jualan permainan itu akan disumbangkan kepada ahli keluarga tentera yang meninggal dunia ketika sedang berkhidmat,” katanya.

Julai lalu, China menarik balik pasukan tenteranya di kawasan sempadan pertikaian India-China di Lembah Galwan, Ladakh.

Pertempuran yang meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa tentera India itu turut menyaksikan larangan 118 aplikasi China termasuk PUBG dan perkhidmatan lain ditawarkan oleh gergasi internet China, Tencent.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]