Bekalan air di hampir 90% kawasan pulih sepenuhnya

Air Selangor berkata, bekalan air untuk baki 136 kawasan di sekitar Lembah Klang masih dalam proses pemulihan.

KUALA LUMPUR: Bekalan air di 89.47% atau 1,156 daripada 1,292 kawasan terjejas dengan gangguan bekalan air membabitkan 7 wilayah sekitar Lembah Klang pulih sepenuhnya setakat 6.30 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, baki 136 kawasan masih dalam proses pemulihan.

Katanya, bekalan air di Petaling sudah pulih 95.72%, Gombak (94.89%), Kuala Lumpur (85.02%), Klang/Shah Alam (59.32%) serta pemulihan sepenuhnya di Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

“Sebanyak 8 kawasan belum pulih sepenuhnya walaupun tersenarai di dalam kawasan (Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak dan Kuala Lumpur) yang sepatutnya pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam 7 Sept, manakala 54 kawasan terjejas juga belum mendapat bekalan air yang sepatutnya dijadualkan 12 tengah malam 8 Sept.

“Pengguna dinasihatkan tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Air Selangor sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan terlibat.

Gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang bermula 3 Sept lalu, apabila loji rawatan air Sungai Selangor fasa 1, fasa 2, fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan akibat pencemaran sumber air mentah.