Sultan Selangor mahu pencemar sungai dikenakan hukuman berat

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu undang-undang lebih tegas dilaksanakan segera terhadap pencemar sungai dengan penalti lebih berat dikenakan termasuk ke atas pencemar alam sekitar khususnya sumber air dan mereka yang terbukti bersalah hendaklah dihukum penjara mandatori serta denda maksimum. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan impak ditanggung rakyat negeri ini ekoran gangguan bekalan air tidak berjadual di beberapa kawasan sejak Khamis lalu.

Istana Selangor dalam kenyataan memberitahu, Sultan Sharafuddin menzahirkan sedemikian selepas dimaklumkan mengenai masalah bekalan air bersih yang terus berulang di negeri ini menerusi pertemuan dengan menteri besar Amirudin Shari di Istana Bukit Kayangan.

Menurut kenyataan itu, Sultan Sharafuddin mengutus surat kepada Amirudin supaya mengambil beberapa tindakan berhubung isu berkenaan kerana khuatir sekiranya masalah air berterusan, rakyat akan memberontak dan boleh mengakibatkan ketegangan seterusnya menjejaskan keharmonian sosial.

Antara inti pati surat berkenaan adalah Sultan Sharafuddin mahu tindakan penguatkuasaan lebih tegas diambil bagi memastikan rumah serta kilang terutama kilang haram berhampiran tebing sungai mesti dirobohkan kerana berpotensi mencemari anak sungai dan sungai di Selangor.

Kenyataan itu memaklumkan, Sultan Sharafuddin sudah lama menitahkan supaya 1 jawatankuasa khas ditubuhkan kerajaan negeri untuk memantau dan memastikan sungai tidak dicemari dengan bahan kimia atau sampah hingga boleh menjejaskan bekalan air mentah kepada loji rawatan.

Sultan Sharafuddin mahu undang-undang lebih tegas dilaksanakan segera terhadap pencemar sungai dengan penalti lebih berat dikenakan termasuk ke atas pencemar alam sekitar khususnya sumber air dan mereka yang terbukti bersalah hendaklah dihukum penjara mandatori serta denda maksimum.

Kenyataan itu berkata, Sultan Sharafuddin juga tidak berkenan wujudnya unsur campur tangan politik dalam penguatkuasaan isu berkaitan alam sekitar dan pencemaran sungai.

Sejak Khamis, kira-kira 5 juta penduduk di 7 wilayah di Lembah Klang dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Gong, Rawang.

Pencemaran bau itu disyaki berpunca daripada pelepasan bahan buangan dari sebuah kilang ke sungai sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Pada Sabtu, 4 beradik yang juga pemilik kilang berkenaan berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam insiden pencemaran bau berkenaan.

Setakat tengah hari tadi, bekalan air di 3 wilayah iaitu di Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor pulih sepenuhnya manakala 65 kawasan bagi wilayah Klang/Shah Alam, Gombak, Petaling dan Kuala Lumpur masih dalam proses pemulihan.