53% daripada kes Covid-19 petugas kesihatan, kata Noor Hisham

Lebih separuh daripada petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 berjangkit daripada petugas kesihatan lain.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 53% daripada keseluruhan kes Covid-19 membabitkan petugas kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih separuh daripada petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 berjangkit daripada petugas kesihatan lain.

Katanya, hasil siasatan mendapati kes positif Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan KKM kebanyakannya berpunca daripada penularan dalam kalangan petugas kesihatan sendiri.

“Keadaan ini membimbangkan kerana mereka memainkan peranan penting sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara.

“Bermakna lebih separuh daripada petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 telah berjangkit daripada petugas kesihatan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Hisham berkata jangkitan daripada komuniti adalah sebanyak 22%, manakala jangkitan semasa pengurusan pesakit yang belum diketahui status Covid-19 pula adalah 17%.

Katanya, setakat ini tiada petugas kesihatan KKM dijangkiti Covid-19 ketika pengurusan pesakit disahkan mendapat virus itu di wad Covid-19 atau di unit rawatan rapi (ICU).

“Justeru, amat penting bagi petugas kesihatan memastikan langkah pencegahan jangkitan Covid-19 diambil pada setiap masa, terutama semasa bertugas.

“Penjarakan fizikal yang selamat di tempat bertugas iaitu dalam kalangan rakan sekerja dan semasa pengurusan pesakit sewajarnya diamalkan sepanjang waktu bekerja.

“Begitu juga dengan kebersihan kawasan guna sama seperti kaunter jururawat, tempat makan, pantri, ruang solat dan tandas kakitangan,” katanya.

Beliau berkata, KKM mengingatkan semua petugas kesihatan yang bertugas di hospital atau klinik kesihatan supaya memakai alat pelitup muka jenis 3 lapis sepanjang waktu bekerja.

“Petugas kesihatan juga perlu mengamalkan kebersihan tangan, ketika batuk dan memakai alat pelindung diri (PPE) yang bersesuaian mengikut keperluan semasa menjalankan tugas.

“KKM ingin menyarankan agar amalan yang dinyatakan turut diikuti oleh pengamal perubatan dan petugas kesihatan swasta dan di universiti. Pengamal perubatan swasta juga perlu menggunakan PPE yang sesuai apabila menjalankan sebarang prosedur klinikal dan bagi kes yang disahkan positif Covid-19,” katanya.