Menteri pertahanan China jumpa Muhyiddin bincang hubungan 2 hala

Wei Fenghe dan Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur Isnin lalu. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan China, Wei Fenghe menemui Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur pada Isnin lalu untuk membincangkan kerjasama 2 hala antara kedua-dua negara.

Muhyiddin dipetik agensi berita China, Xinhua sebagai berkata, Malaysia sedia memperkukuhkan hubungannya dengan Beijing dalam semua bidang, termasuk pertahanan, perdagangan dan pendidikan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada China atas kejayaannya menangani penularan Covid-19 dan Malaysia menjadi antara negara pertama yang berjaya mengawal pandemik itu atas sokongan Beijing.

Wei berkata, kedua-dua negara saling membantu ketika penularan Covid-19 sambil menekankan pemulihan ekonomi dan sosial dengan memperkukuhkan kerjasama mereka.

Katanya, mengekalkan kestabilan Laut China Selatan ialah tanggungjawab bersama kedua-dua negara dan Beijing sedia bekerjasama dengan negara lain di Asia Tenggara untuk melindungi keamanan di rantau itu.

Xinhua melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Wei untuk membincangkan hal antarabangsa dan serantau, termasuk isu Laut China Selatan.