Rosmah garang, boleh pengaruh PM, kata saksi

Rosmah Mansor berdepan 1 pertuduhan meminta RM187.5 juta dan 2 pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

KUALA LUMPUR: Rizal Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau berpandangan warga perkhidmatan awam takut kepada Rosmah Mansor yang dilihat sebagai isteri perdana menteri yang garang dan boleh mempengaruhi perdana menteri untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Bekas pegawai khas Rosmah itu berkata, beliau berpandangan sedemikian berdasarkan pengalamannya bekerja bersama warga perkhidmatan awam sejak dilantik secara kontrak pada 2009.

“Dalam pandangan warga perkhidmatan awam, Rosmah berkebolehan untuk mempengaruhi perdana menteri untuk memindahkan pegawai kerajaan, yang menentang atau mengingkari permintaan beliau, ke jawatan yang kurang penting atau dalam istilah biasa dalam kalangan penjawat awam iaitu jawatan ‘peti sejuk’ atau dipindahkan jauh dari tempat mereka bermastautin.

“Selain itu, saya juga mendapati Rosmah mempunyai pengaruh yang besar dalam jentera pentadbiran kerajaan apabila agensi dan pegawai kerajaan sentiasa berasa keberatan untuk menolak kehendak dan permintaan Bahagian FLOM (First Lady of Malaysia) dan Rosmah.

“Pegawai kerajaan sentiasa cuba untuk memuaskan dan memenangi hati Rosmah, segala permintaan dan kehendak Rosmah akan diusahakan sedaya-upaya oleh mereka sehingga berjaya,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib.

Rizal, 46, yang merupakan saksi penting pihak pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes isteri bekas perdana menteri itu yang berdepan 1 pertuduhan meminta RM187.5 juta dan 2 pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Menurut saksi pihak pendakwaan ke-21 itu, beliau berpandangan pada ketika itu, segala fakta tersebut adalah tidak tepat dan hanya khabar angin yang disebarkan bertujuan untuk memburukkan imej serta reputasi Rosmah dalam kalangan penjawat awam.

“Sebagai pegawai khas kepada Rosmah, saya sentiasa akan mempertahankan imej beliau kepada mereka ini,” katanya.

Beliau juga berkata, sebagai seorang yang rapat dengan ketuanya, beliau juga selalu menyaksikan komunikasi Rosmah dengan suami beliau (Najib Razak) dan sepanjang pengalaman bersama mereka beliau mengesahkan Najib sangat menghormati pandangan isterinya.

Terdahulu, Rizal berkata pada 1 Mei 2009 sehingga Mei 2018, beliau bertugas di Bahagian FLOM yang ditubuhkan selepas Najib mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-6 pada awal April 2009, dan bahagian itu yang kemudian ditukarkan namanya kepada Bahagian Khas, secara rasmi ditugaskan untuk menguruskan aktiviti harian rasmi dan tidak rasmi Rosmah.

Saksi itu berkata, sepanjang kerjayanya di Bahagian FLOM beliau mendapati agensi kerajaan sangat menghormati dan menggeruni bahagian itu kerana gandingan kedudukan serta reputasi Rosmah dan pengarah Bahagian FLOM ketika itu, Azizah Abod yang merupakan kenalan lama Rosmah sejak zaman universiti, selain segala permintaan daripada bahagian itu akan dilaksanakan oleh agensi kerajaan dengan cepat dan secara responsif tanpa dibebani kerenah birokrasi.

Menurut Rizal, pada 2012 beliau menubuhkan pasukan “cybertroopers” atas arahan Rosmah yang ditugaskan untuk memantau kandungan media sosial yang kritikal atau memberi persepsi negatif terhadap Rosmah selain perlu menangkis dan memberi penjelasan ke atas setiap fitnah, tohmahan dan tuduhan terhadap Rosmah kepada orang ramai.

“Pasukan cybertroopers ini beroperasi dengan dana yang diberikan oleh Rosmah sendiri di mana beliau memberikan kepada saya wang tunai RM100,000 setiap bulan untuk membiayai pasukan tersebut. Saya sendiri di dalam kapasiti saya sebagai pegawai khas bertanggungjawab untuk menangkis fitnah, tohmahan dan tuduhan terhadap Rosmah dan ini saya lakukan melalui akaun Facebook saya sendiri serta kenyataan media yang saya keluarkan,” katanya.

Menurut Rizal, setiap hari terdapat berita negatif melibatkan integriti dan kedudukan Rosmah sebagai isteri perdana menteri terutamanya di media sosial, dan disebabkan itu pejabat perdana menteri pernah menasihatkan Bahagian FLOM termasuk beliau untuk mengurangkan publisiti Rosmah dalam media massa dan semasa musim Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013, saksi itu juga banyak ditugaskan untuk memberi ceramah penjelasan isu semasa berkaitan Rosmah dalam kempen pilihan raya Barisan Nasional untuk menjernihkan persepsi pengundi terhadap Rosmah.

Saksi itu juga berkata, hubungan beliau dan Rosmah yang semakin akrab menyebabkan isteri bekas perdana menteri itu mula mempercayainya dengan tugas lebih sulit dan lebih peribadi, antaranya beliau beberapa kali diarahkan untuk menguruskan kutipan dana atau sumbangan yang mahu diberikan kepada Rosmah secara peribadi oleh individu tertentu.

Dalam pengetahuannya, Rizal berkata, ada beberapa usahawan atau kontraktor yang berjaya mendapatkan projek kerajaan selepas mereka dibantu oleh Rosmah dan pada kebiasaannya usahawan atau kontraktor itu akan memberi sesuatu hadiah termasuk wang tunai kepada Rosmah sebagai tanda penghargaan kerana membantu mereka.

“Selepas mendapat kepercayaan Rosmah, saya mula ditugaskan oleh beliau untuk menerima hadiah bagi pihak beliau termasuk wang tunai yang ingin disampaikan kepada beliau daripada usahawan dan kontraktor tersebut.

“Oleh kerana pemberian ini semuanya adalah atas dasar ‘sumbangan politik’, saya tidak pernah menganggap ia akan menjadi 1 kesalahan untuk saya menerimanya bagi pihak beliau,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa menerima suapan menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin.