Golongan LGBT perlu dilindungi daripada gangguan seksual

Cadangan rang undang-undang (RUU) bagi membendung masalah gangguan seksual yang sedang diusahakan pada masa kini oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) perlu meliputi perlindungan daripada gangguan seksual kepada semua pihak, termasuklah golongan lesbian, gay, dan biseksual serta transgender (LGBT).

Walaupun golongan ini tidak diiktiraf, tidak bermakna mereka perlu dimalukan dan diganggu secara seksual oleh orang sekeliling. Sebarang bentuk ejekan yang berbentuk seksual terhadap golongan berkenaan perlu dijadikan sebagai kesalahan dan tindakan undang-undang perlu dibenarkan untuk diambil bawah cadangan RUU berkenaan.

Ejekan seperti “pondan”, “bapok”, “kunyit”, “lembik”, “mat kepit”, “sotong” dan sebagainya yang selalu digunakan terhadap golongan berkenaan perlu dibendung sepenuhnya kerana ia bukan sahaja boleh menjatuhkan maruah mangsa malah boleh menyebabkan mangsa serta ahli keluarga menghadapi tekanan mental dan emosi.

Perlu diketahui, mangsa gangguan seksual bukan hanya terdiri daripada wanita. Gangguan seksual juga boleh berlaku kepada lelaki serta LGBT.

Gangguan seksual ini dilihat mudah dan selalu dilakukan terhadap golongan LGBT kerana kebanyakan negara tidak terima kewujudan golongan berkenaan. Apa-apa pun pandangan yang ada terhadap golongan ini, gangguan seksual tidak boleh dibenarkan berlaku terhadap mana-mana pihak kerana ia boleh mengundang kepada pelbagai masalah kepada diri mangsa, ahli keluarga serta orang sekeliling.

Apa itu gangguan seksual? Gangguan seksual adalah sebarang bentuk perkataan atau tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal kepada diri mangsa.

Gangguan seksual boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu ugutan seksual, yang atas sebab yang munasabah, boleh dianggap oleh mangsa sebagai mengenakan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaannya dan pengacauan seksual, yang atas sebab yang munasabah, boleh dianggap oleh mangsa sebagai satu pencabulan maruah, atau penghinaan atau ancaman terhadap dirinya.

Gangguan seksual boleh berlaku sekali sahaja atau berulang kali. Gangguan seksual boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina. Ia juga boleh berlaku dimana-mana sahaja sama ada di tempat kerja, dalam pengangkutan awam, tempat riadah dan lain-lain lagi.

Gangguan seksual boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:

  • Gangguan seksual secara lisan contohnya: kata – kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan-soalan yang berbentuk ancaman atau cadangan seksual.
  • Gangguan seksual secara isyarat atau bukan lisan contohnya: pandangan atau jerlingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir atau memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks, tingkah laku mengurat yang berterusan.
  • Gangguan seksual dalam bentuk visual contohnya: menunjukkan bahan – bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, mendedahkan bahagian badan yang sulit yang tidak sepatutnya didedah.
  • Gangguan seksual berbentuk psikologi contohnya: mengulangi jemputan sosial yang tidak diterima, memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau untuk bercumbuan.
  • Gangguan seksual berbentuk fizikal: contohnya sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium, serta serangan seksual.

Perlu diketahui, pada masa kini tiada akta khusus untuk mengatasi masalah gangguan seksual. Mangsa gangguan seksual perlu mengambil langkah perudangan melalui beberapa jenis saluran peruntukan undang-undang sedia ada yang memiliki kelemahannya tersendiri seperti Akta Kerja, Akta Perhubungan Industri, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, dan Kanun Keseksaan.

Antara kelemahan yang terdapat dalam peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengatasi masalah gangguan seksual termasuklah dari aspek syarat beban pembuktian yang tinggi, menyebabkan pihak mangsa menghadapi kesukaran bagi membuktikan dakwaan kes gangguan seksual yang berlaku terhadap dirinya.

Tatacara sedia ada dalam peruntukan undang-undang sedia ada juga tidak sesuai untuk mengendalikan kes gangguan seksual yang sensitif serta kompleks.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya peruntukan khas diwujudkan bagi kita mengatasi masalah gangguan seksual dengan lebih berkesan. Apa yang paling penting adalah mangsa gangguan seksual kelak tidak merasakan diri mereka tidak mempunyai harapan untuk membawa kes serta mendakwa pelaku gangguan seksual berkenaan ke muka pengadilan.

Muzaffar Syah Mallow adalah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah & Undang-Undang di Universiti Sains Islam Malaysia.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.