Jangan berkumpul, berarak, hadir di Mahkamah Butterworth esok, kata polis

Polis juga sudah berbincang dengan pihak mahkamah untuk mengehadkan jumlah mereka yang dibenarkan masuk ke dalam kawasan perkarangan bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dan membendung penularan wabak Covid-19.

KEPALA BATAS: Polis menasihatkan orang ramai terutama penyokong bekas menteri kewangan Lim Guan Eng tidak berkumpul, berarak dan hadir ketika pertuduhan ke atas ahli Parlimen Bagan itu di Mahkamah Sesyen Butterworth, esok.

Ketua Polis Seberang Perai Utara Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan pemantauan di kawasan mahkamah itu esok dan akan mengambil tindakan termasuk kompaun RM1,000 jika terdapat pihak yang ingkar arahan serta tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Selain itu polis juga tidak mengalakkan kehadiran wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama ada menyokong Lim atau sebaliknya, kerana bimbang berlaku provokasi atau perang mulut antara mereka sehingga mencetuskan perkara tidak diingini. Seramai 100 pegawai dan anggota polis akan bertugas esok,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, jalan di kawasan itu tidak ditutup esok namun polis akan mengawal lalu lintas bagi memastikan ia berjalan lancar serta tidak berlaku kesesakan akibat kehadiran orang ramai atau mereka yang cuba berhenti di tepi jalan.

Noorzainy berkata, polis juga sudah berbincang dengan pihak mahkamah untuk mengehadkan jumlah mereka yang dibenarkan masuk ke dalam kawasan perkarangan mahkamah bagi memastikan tidak berlaku kesesakan di situ dan membendung penularan wabak Covid-19.

Semalam, timbalan pendakwa raya Wan Shaharudin Wan Ladin dilaporkan berkata, Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang akan menghadapi 2 pertuduhan baharu berkaitan penyalahgunaan harta di Mahkamah Sesyen Butterworth, esok.