Tiada perarakan penamaan calon PRN Sabah, kata Ismail

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata garis panduan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya membenarkan 3 orang setiap parti untuk hadir ke pusat penamaan calon.

PUTRAJAYA: Perarakan penyokong pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini dilarang, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, garis panduan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya membenarkan 3 orang setiap parti untuk hadir ke pusat penamaan calon.

“Seperti biasa yang boleh masuk pusat penamaan hanya 3 iaitu calon, penyokong dan pencadang. Penyokong lain tidak dibenarkan, tiada perarakan hantar calon,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju menambah baik prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini termasuk di Chini dan Slim untuk digunapakai di PRN Sabah.

“Garis panduan dan SOP PRK Chini dan Slim akan digunapakai dalam PRN Sabah. Sepanjang tempoh kempen, bilik gerakan dibenarkan beroperasi dengan syarat berdaftar dengan SPR.

“Ceramah dibenarkan sewaktu tempoh kempen tetapi perlu memastikan penjarakan fizikal terjaga dan mengikut kapasiti tempat,” katanya.

Katanya, pada hari pengundian pula SOP yang tersedia akan digunapakai seperti saringan suhu badan dan kawalan kehadiran pengundi untuk memastikan penjarakan fizikal terpelihara.

“Bagi pengundi yang bergejala seperti suhu melebihi 37.5 darjah celsius, batuk, sakit tekak atau sesak nafas, mereka akan diasingkan daripada pengundi lain dan akan mengundi di khemah khas.

“Pengundi yang berstatus positif Covid-19 tidak akan dibenarkan keluar hospital untuk mengundi kerana berisiko menjangkiti orang ramai.

“Manakala pengundi berstatus patient under investigation (PUI) dan person under surveillance (PUS) yang berhasrat mengundi perlu memohon kebenaran terlebih dahulu daripada pegawai kesihatan daerah,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia

Sementara itu, mengulas sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan pada 16 September ini di Stadium Tertutup Sibu, Sarawak, jumlah peserta akan dihadkan kepada 500 orang sahaja bagi memastikan penjarakan fizikal.

“SOP bagi sambutan Hari Malaysia akan mengikut SOP acara langsung yang ditetapkan sebelum ini termasuk kawalan pintu masuk yang ketat,” katanya.