Tidak tahu manfaat antara punca penghantar makanan enggan carum skim keselamatan, kata persatuan

Faktor umur muda dan kurang pendedahan dilihat antara punca ramai penghantar makanan tidak mencarum kepada skim keselamatan pekerjaan sendiri Perkeso.

PETALING JAYA: Kesedaran rendah dalam kalangan penghantar makanan mengenai manfaat Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dilihat antara punca menyebabkan kadar caruman skim ini rendah, kata Persatuan Pemandu Grab Malaysia.

Presidennya Arif Asyraf Ali berkata, rata-rata penghantar makanan berpandangan bahawa caruman yang dibuat di bawah skim ini secara tidak langsung akan mengurangkan serta menjejaskan pendapatan yang diperolehi mereka.

“Mereka tidak sedar akan kelebihan mencarum dengan Perkeso atas skim ini kerana hanya melihat akan ada kos tambahan. Ini memandangkan pendapatan mereka hanya ada apabila mereka bekerja. Jika rajin bekerja baru dapat gaji lebih tinggi.

“Mereka juga tidak terdedah kerana kebanyakan penghantar makanan ini rata-rata usianya adalah antara 18 hingga ke 25 tahun. Mereka ini masih di peringkat awal dewasa, jadi kesedaran masih tidak tinggi,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar berkata,pihaknya berharap lebih ramai penghantar makanan mendapatkan perlindungan keselamatan sosial melalui SKSPS.

Abd Razak berkata, ini kerana sehingga kini pihaknya hanya menerima 62 pencarum berdaftar di bawah SKSPS, sedangkan difahamkan terdapat hampir 600 penghantar makanan di seluruh Melaka.

Arif Asyraf Ali.

Arif berkata, secara peribadi beliau mencadangkan kepada pihak Perkeso supaya turun padang mendekati penghantar makanan serta bekerjasama dengan syarikat e-hailing supaya tindakan lebih serius dapat dilakukan.

“Banyak penghantar makanan tidak tahu, jadi syarikat atau operator e-hailing juga harus terlibat sama untuk beri kesedaran, beri ‘notification’ dalam aplikasi mereka,” katanya.

SKSPS diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Sebagai permulaan skim ini diwajibkan ke atas sektor pengangkutan penumpang, iaitu pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 berkuat kuasa mulai 1 Jun 2017.

Mulai 1 Januari lepas, perlindungan SKSPS diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri lain.