
PETALING JAYA: Ketika Dr Leong Chee Loon kali pertama mendengar mengenai wabak Covid-19, beliau terus teringat akan wabak SARS yang melanda pada 2003 dan mengorbankan 774 nyawa di seluruh dunia.
Baru setahun beliau ditugaskan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), tetapi banyak perkara yang dipelajarinya daripada “sifu” pada ketika itu, iaitu bekas timbalan ketua pengarah kesihatan Dr Christopher Lee.
18 tahun kemudian, Leong mendapati dirinya berada dalam situasi yang sama sebagai ketua Unit Penyakit Berjangkit HKL ketika virus Covid-19 mula menular dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Saya sebenarnya hanya meneruskan apa-apa yang dilakukan oleh Lee pada 2003. Pada waktu itu, beliau menyediakan bilik pengasingan dan bilik tekanan negatif untuk melawan SARS, jadi saya berpeluang untuk uruskan bilik yang sama sekarang,” katanya kepada FMT.
“Selepas SARS kita berdepan pula dengan H5N1, H1N1, MERS sehingga ada beberapa senario penyakit berjangkit yang mengingatkan kami supaya tidak berasa puas hati,” katanya.
“Kemudian Covid-19 datang.”
Leong masih ingat kes pertama yang diterima HKL, tepat sebelum Tahun Baru Cina, dan bagaimana ia mengganggu rancangannya untuk menyambut musim perayaan itu.
Terpaksa memberi perhatian pada telefonnya dan memendekkan hari cutinya, beliau perlu menguruskan pelbagai rujukan kes ke hospital.
Namun, tidak disangka itu hanyalah permulaan kepada kes yang banyak.
“Tidak lama lepas itu, kita ada kes Sri Petaling. Ia adalah penularan besar yang tidak dapat ditangani oleh wad pengasingan saya.
“Saya memerlukan pertolongan daripada pengarah hospital dan rakan-rakan dari jabatan lain untuk mengosongkan wad mereka.
“Ini kerana pada gelombang ke-2, pesakit, terutama warga tua lebih sakit dan mereka juga mengalami gejala pernafasan. Pada gelombang pertama, kebanyakannya hanya mengalami demam-demam.”
Perjuangan terbesar yang perlu dilalui Leong adalah ketika beberapa kakitangannya sendiri dijangkiti virus itu sehingga mengancam operasi hospital.
Dalam usaha mengimbangi tekanan yang dirasai bagi memastikan kakitangannya (yang kini menjadi pesakit) terjaga dan hospital kekal beroperasi, beliau turun padang untuk mengkaji punca jangkitan, selain mengamalkan langkah pencegahan.
Beliau berasa lega apabila mendapati jangkitan berpunca dari komuniti, bukannya dari petugas kesihatan yang merawat pesakit positif Covid-19.
Latihan dan kursus pembaharuan mengenai cara memakai alat pelindung diri (PPE) diadakan di hospital secara berkala, kata Leong, dengan menambah bahawa pegawai kesihatan perlu diingatkan tentang prosedurnya walaupun keadaan kelihatan tenang.
“Apabila petugas kesihatan dijangkiti, banyak orang akan menjadi kontak rapat sebab kita bekerja dan makan bersama-sama,” katanya, sambil menambah bahawa HKL tidak boleh ditutup sementara kerana ia merupakan barisan depan dalam perang melawan virus itu.
“Jadi kita tidak boleh rasa puas hati. Kita beritahu semua orang bahawa pemakaian pelitup muka dalam kawasan hospital adalah suatu kemestian.
“Kita perlu pastikan perkhidmatan kita boleh terus berjalan dan pesakit kita dikuarantin dan boleh sembuh,” katanya.
Bagi Leong, adalah tidak tepat untuk mengatakan norma baru yang disebabkan oleh pandemik itu amat mudah untuk diadaptasi. Ini kerana beliau menggambarkan bagaimana ia memberi impak kepada pesakit dan rawatan mereka.
“Saya sudah lihat sendiri beberapa pesakit yang menangis kerana orang tersayang tidak boleh datang melawat. Mereka memang memerlukan sokongan moral.
“Jadi sekarang kakitangan hospital sendiri yang perlu berikan sokongan itu kerana ada sekatan untuk ahli keluarga,” katanya.
Biarpun begitu, Leong yakin norma baru itu sangat penting bagi petugas barisan depan, bukan hanya di tempat kerja.
Beliau berkata, tidak ada langsung ruang untuk berasa berpuas hati walaupun Lembah Klang mengalami jumlah kes yang lebih rendah berbanding negeri lain.
“Saya beritahu kakitangan saya, jangan fikir apa yang berlaku di luar Lembah Klang tidak akan berlaku di sini lagi. Kita masih perlu amalkan norma baru,” katanya.
Leong berkata, penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, etika batuk yang betul dan kerap mencuci tangan semuanya sangat penting dan setiap orang perlu saling mengingatkan tentang pengamalannya dari semasa ke semasa.
“Kita mesti amalkan norma baru. Setiap kali kita bersosial, kita perlu ingat nasihat yang selalu diberitahu oleh Kementerian Kesihatan.
“Saya tak kata saya sangat bagus dalam perkara ini, tetapi kita perlu saling mengingatkan – pakai pelitup muka, amalkan etika batuk yang betul dan jaga jarak sosial.”
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai penerapan norma baru ketika pandemik, lawati https://www.infosihat.gov.my/images/media_sihat/normabaharu/HTML/mobile/index.html