5 dalang cemar Sungai Gong dituduh esok

5 individu terbabit isu pencemaran air di Sungai Gong akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang esok. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Peguam Negara memutuskan untuk menuduh 4 lembaga pengarah dan seorang pengurus kilang yang didakwa terbabit isu pencemaran air di Sungai Gong, Rawang dengan 2 pertuduhan di mahkamah esok, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat.

Beliau berkata, pertuduhan pertama yang dibuat terhadap 5 individu berkenaan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan, iaitu tindakan khianat dengan membencanakan perjalanan tali air atau menyimpangkan haluan air dengan salah.

“Ia turut akan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Sementara itu, pertuduhan ke-2 bawah Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sektar 1974, dibacakan juga bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seksyen 34 Kanun Keseksaan menyatakan setiap seorang daripada mereka bertanggungjawab atas tindakan yang dilakukan oleh semuanya, seolah-olah ia dilakukan oleh seorang individu.

Fadzil berkata, seramai 4 lagi individu daripada tangkapan lain dibebaskan dengan bon bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah, untuk dijadikan saksi dalam kes berkenaan.

“Pertuduhan akan dilakukan pada 15 September di Mahkamah Sesyen Selayang, Gombak,” katanya.