Libat program keusahawanan dalam TVET, kata NUTP

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan merayu menteri pendidikan melihat dasar untuk membenarkan keusahawanan dilaksanakan dalam pendidikan dan latihan teknikal (TVET) di kolej vokasional.

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) merayu menteri pendidikan melihat dasar untuk membenarkan keusahawanan dilaksanakan dalam pendidikan dan latihan teknikal (TVET) di kolej vokasional.

Setiausaha agungnhya Harry Tan berkata, pihaknya melihat pelajar yang melanjutkan pendidikan dalam program TVET mempunyai peluang cerah dan boleh menjana pendapatan sendiri.

“Hal ini kerana mereka mampu menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti perkhidmatan penyelenggaraan kepada masyarakat setempat di sekitar sekolah atau kolej vokasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ia juga selaras kenyataan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yang menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan program menggerakkan ekonomi pasca Covid-19.

Mohd Zuki juga berkata, kementerian dan jabatan kini perlu bekerja lebih pantas serta tidak lagi bekerja mengikut sistem atau gaya kerja yang lama.

Beliau turut menyenaraikan beberapa program keusahawanan yang menurutnya mampu menjana pendapatan buat pelajar seperti bidang penternakan serta turut terlibat mengusahakan tanaman jangka pendek.

“Bagi pelajar di bidang automatif atau penghawa dingin pula mampu menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, membaik pulih kerosakan kereta, motosikal atau basikal. Berbekalkan modal dan bengkel kecil, tidak mustahil pelajar atau sekolah mampu memiliki bengkel lebih besar di kemudian hari.

“Ia adalah hasil upah orang ramai dan masyarakat setempat yang memerlukan perkhidmatan daripada murid atau pelajar kolej vokasional tersebut. Sekali gus dapat membantu sekolah memperoleh sumber pendapatan dan memperluaskan lagi program sedia ada,” katanya.