SPRM belum buka kertas siasatan 101 projek rundingan terus

SPRM sebelum ini mengeluarkan kenyataan berkata, ia akan meneliti projek yang diluluskan melalui rundingan terus di bawah pentadbiran PH.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum membuka kertas siasatan ke atas 101 projek yang diberikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui rundingan terus, kata Ketua Pesuruhjayanya, Azam Baki.

Beliau berkata, bidang kuasa agensi anti-rasuah itu ialah menyiasat rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tetapi tiada satu pun daripada 2 faktor itu disebut di Dewan Rakyat, ketika menteri kewangan membangkitkan perkara terbabit.

“Kami belum membuka kertas siasatan kerana ini bukan perkara yang mudah untuk kita mengenal pasti mana-mana syarikat dan sebagainya yang dikatakan terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

“Jadi, saya tidak mahu komen banyak kerana yang dimaklumkan dalam Parlimen itu adalah berkaitan sesuatu perkara yang telah dibuat oleh kerajaan PH terdahulu. Itu saja.

“Tetapi, dalam Parlimen tidak disebut tentang masalah isu salah guna kuasa ataupun rasuah. Jadi, kami masih lagi melihat dan mengkaji tentang 101 projek ini dan saya tidak boleh memberi suatu komen yang terperinci,” katanya ketika menghadiri sebuah acara dekat sini, hari ini.

Bulan lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat mendedahkan 101 projek bernilai RM6.61 bilion didakwa ditawarkan melalui rundingan terus di bawah pentadbiran PH.

Maklum balas beliau kepada pertanyaan ahli Parlimen itu menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat dengan wakil rakyat daripada kedua-dua pihak saling bertikam lidah.

SPRM kemudiannya dalam kenyataan berkata, ia akan meneliti projek yang diluluskan melalui rundingan terus di bawah pentadbiran PH.

Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng mencabar Tengku Zafrul untuk mendedahkan senarai projek itu.

Katanya, jika angka itu betul, ia hanya kira-kira 1.4% daripada nilai keseluruhan pemerolehan kerajaan berjumlah RM477 bilion ketika pentadbiran PH selama 22 bulan.

Tengku Zafrul kemudian mendedahkan senarai penuh projek mengikut kementerian, dengan ada yang didapati diluluskan kerajaan terdahulu Barisan Nasional dan diperbaharui di bawah PH.

Sementara itu, Azam berkata, siasatan ke atas pencemaran Sungai Gong baru-baru ini yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 1.2 juta isi rumah di Lembah Klang sedang dijalankan, menerusi kerjasama dengan polis dan pihak berkuasa lain.