120 PATI ditahan dalam Ops Benteng

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata turut dirampas dalam operasi itu 3 kapal atau bot dan 4 kenderaan berat.

PETALING JAYA: Seramai 120 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 2 tekong ditahan dalam Operasi Benteng di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, turut dirampas dalam operasi itu 3 kapal atau bot dan 4 kenderaan berat.

“Daripada jumlah itu 9 orang ditahan di Pengkalan Kubor, Kelantan kerana memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah.

“Di Teluk Penawar, Bandar Penawar, Johor, pasukan keselamatan berjaya menahan 5 PATI kerana tiada dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, mengenai perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), polis menahan 68 individu kerana ingkar arahan semalam.

“Daripada jumlah itu, seramai 66 individu dikompaun manakala 2 individu direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk ingkar perintah PKPD (21), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (18), tidak memakai pelitup muka (18), penjarakan fizikal (6), gagal melunaskan bil kuarantin (3), serta tangkapan PATI (2),” katanya.