9 destinasi bersejarah di Selangor

Tanggal 31 Ogos dan 16 Sept ialah tarikh keramat diraikan setiap tahun sempena kemerdekaan serta pembentukan Malaysia.

Sempena bulan kebangsaan ini, mari berkunjung ke tempat bersejarah dan penuh warisan bagi memahami sejarah negara serta mengambil iktibar daripada kisah lama untuk dijadikan panduan dan pengajaran dalam kehidupan.

Berikut ialah 9 lokasi bersejarah dan menarik di sekitar Selangor yang boleh dikunjungi seisi keluarga.

Istana Bandar Jugra

Pada mulanya, istana yang terletak di Kuala Langat ini dijadikan pusat pentadbiran kerajaan Selangor lebih 100 tahun dulu.

Hampir semua struktur istana diperbuat daripada batu bata dan kapur, manakala pintu dan tangga pula dihasilkan daripada kayu cengal. Reka bentuk bangunan berasaskan seni bina tempatan dan kolonial British.

Kini, istana ini dijadikan galeri diraja atau “living museum”. Ia turut dijadikan pusat pengajian al-Quran oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

Ia dibuka setiap hari dan tiada bayaran kemasukan dikenakan.

Bukit Malawati

Bukit Malawati di Kuala Selangor merupakan ibu pejabat perang dan kubu Kerajaan Kesultanan Selangor sejak abad ke-18 yang turut menjadi lokasi pertembungan antara Belanda, Johor dan Riau.

Anda akan menikmati pemandangan menyenangkan di sekitar Kuala Selangor dalam perjalanan sejam dari Shah Alam ke Bukit Malawati.

Tiada bayaran dikenakan untuk memasuki Bukit Malawati. Orang ramai dibenarkan memberi makanan kepada monyet “Silver Leafed” yang mesra.

Terdapat perkhidmatan trem yang disediakan pada hari minggu dengan bayaran RM3 untuk dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak berumur 3 hingga 12 tahun. Waktu operasinya bermula 9 pagi hingga 6 petang pada hujung minggu dan cuti umum saja.

Bukit Belanda

Ia juga dikenali sebagai Kota Ultrech sempena nama rasmi kapal Belanda pada zaman penaklukan Belanda selepas menewaskan Raja Fisabilillah di Teluk Ketapang.

Bukit ini menjadi kubu pertahanan pertama Belanda disebabkan lokasinya yang tinggi dan mudah mengesan musuh dari jauh.

Ia terletak berdekatan Bukit Malawati dan pengunjung boleh singgah di untuk bergambar dan menikmati pemandangan di Bukit Belanda.

Bandar Diraja Klang

Ia pernah menjadi salah sebuah bandar tertua di Malaysia dan ibu negeri Selangor.

Klang kaya dengan sejarah, tradisi dan adat istiadat diraja. Bandar ini bermula di tebing selatan Sungai Klang yang terkenal dengan penghasilan bijih timah seawal abad ke-15.

Tourism Selangor menyediakan lawatan ke seluruh Bandar Klang menerusi “Royal Klang Town Heritage Walk Tour”. Pelbagai keunikan boleh dirasai, contohnya kecantikan seni bina bangunan bersejarah dan tekstil tenunan masyarakat India.

Anda juga boleh membeli buah tangan di sekitar Jalan Tengku Kelana yang lebih dikenali sebagai Jalan Little India.

Pantai Morib

Pantai sepanjang 3km ini terletak di Kuala Langat dan menghadap Selat Melaka.

Pada 1945, pantai ini menjadi lokasi pendaratan tentera British ketika Perang Dunia Kedua untuk merampas Tanah Melayu dan sebagai kubu pertahanan daripada serangan Jepun yang sekaligus menandakan pengakhiran Perang Dunia Kedua di rantau ini.

Kini, dengan perjalanan sejam dari Kuala Lumpur, pantai ini menjadi lokasi warga kota bersantai, melakukan aktiviti riadah, dan berkhemah.

Bandar Kajang

Dulu, Kajang merupakan kawasan penempatan suku kaum Temuan sejak 1709. Batin Seri Alam ialah ketua yang berpusat di Kajang sebelum kuasanya dirampas Sultan Johor kerana terletak di bawah jajahan Johor ketika itu.

Bandar Kajang terletak berhampiran Sungai Langat yang menjadi laluan utama perdagangan dan pengangkutan hasil bijih timah dan getah ke luar negara seperti Britain.

Kajang juga terkenal dengan sate yang menjadi kegemaran ramai.

Kuala Kubu Bharu

Dulu, Kuala Kubu Bharu dikenali sebagai Kuala Kubu yang diletakkan di bawah Pentadbiran Residen British, termasuk Presiden Frank Swettenham bersama J P Rodger dan Edward Maxwell.

Kuala Kubu turut menjadi pintu masuk ke Pahang ketika itu. Banjir besar menyebabkan pihak British memindahkan pusat pentadbirannya ke Kuala Kubu Bharu pada 6 Mei 1931.

Kuala Kubu pernah menjadi pintu utama bagi menghantar bekalan kepada pasukan Inggeris bagi menundukkan pemberontak.

Kuala Kubu Bharu pesat membangun sejak 1994. Kini, ia menawarkan aktiviti eko-pelancongan bagi penggemar sukan ekstrem seperti paragliding, white water rafting dan water tubing.

Kota Raja Mahadi

Terletak tidak jauh dari bangunan Majlis Perbandaran Klang, Kota Raja Mahadi dibina Raja Mahadi Raja Sulaiman ketika kemuncak peperangan Klang pada 1866.

Peperangan Klang berlaku akibat perebutan kuasa untuk memerintah Klang antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah.

Peredaran zaman dan struktur bangunan tidak kukuh hanya meninggalkan pintu gerbang yang menjadi mercu tanda kekuatan empayar Raja Mahadi.

Anda boleh singgah di Kota Raja Mahadi berdekatan Bangunan Sultan Alam Shah untuk bergambar dan melihat peninggalan pintu bersejarah ini.

Bangunan Tan Boon Chia

Bangunan Tan Boon Chia terletak di Rasa, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Dulu, ia terkenal sebagai lokasi perlombongan biji timah yang menyumbang kepada sumber kekayaan penduduk setempat.

Bangunan bersejarah ini dibina pada 1918 oleh seorang peniaga bernama Tan Boon Chia. Bangunan ini mempunyai 51 bilik dan dijadikan markas pentadbiran ketika Tanah Melayu dijajah Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Anda boleh mengambil gambar bangunan bersejarah ini dan melawat ke bandar Rasa.

Tourism Selangor menyarankan orang ramai mematuhi SOP dengan menjaga penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan Covid-19 ketika melawat destinasi bersejarah ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]