Covid-19 catat 10,031 kes, 59 di Sabah hari ini

PETALING JAYA: Covid-19 mencatatkan 10,031 kes hari ini sementara Sabah terus merekodkan kes tertinggi harian dengan 59 kes termasuk 48 daripada kluster Benteng, Lahad Datu.

Daripada jumlah keseluruhan 62 kes baharu hari ini, Kedah dan Pulau Pinang, masing-masing mencatatkan 1 kes manakala 1 kes import membabitkan warga Malaysia yang pulang dari India.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 61 penularan tempatan itu, 41 kes membabitkan warga Malaysia dan 20 bukan warganegara.

Beliau berkata, sehingga kini 15 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 3 memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada pertambahan kes kematian hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal 128.

Memperincikan penularan di 3 negeri, Hisham berkata, daripada 59 kes dicatatkan di Sabah, 48 kes daripada kluster Benteng membabitkan 20 bukan warganegara, 4 kes saringan petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu, 3 kes saringan di pintu masuk antarabangsa (PMA) dari Semenanjung dan 2 kes saringan di Penjara Sandakan.

“Di Kedah, 1 kes direkodkan daripada kluster Sungai manakala 1 kes saringan kontak rapat daripada kes ke-9,397 dan ke-9,459 di Pulau Pinang. Beliau merupakan ahli keluarga dan duduk serumah dengan kedua-dua kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kluster Benteng, beliau seramai 7,247 individu disaring membabitkan 2 daerah iaitu Lahad Datu (1,531) dan Tawau (5,716).

“Berdasarkan keseluruhan saringan bagi kluster ini, pecahan saringan melibatkan 1,379 banduan dan tahanan di mana 429 kes dikesan positif Covid-19, 1,156 kakitangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau di mana 10 kes dikesan positif, 1,251 ahli keluarga kepada kakitangan, banduan dan tahanan di mana 10 dikesan positif, 994 pegawai agensi kerajaan lain, tiada dikesan positif dan 2,467 kontak sosial di mana 23 kes dikesan positif.

“Daripada jumlah 472 kes positif, 214 adalah dalam kalangan warga Malaysia manakala 258 bukan warganegara melibatkan Filipina (167 kes) dan Indonesia (91 kes),” katanya.