Lebih 5 juta kes Covid-19 dicatat di India

Ujian saringan Covid-19 diadakan di sebuah hospital kerajaan di Jammu, India semalam. (Gambar AP)

NEW DELHI: India mencatatkan lebih 5 juta kes positif Covid-19 pada Rabu dengan pandemik itu merebak pada kadar lebih cepat ke seluruh negara itu, menurut data Kementerian Kesihatan.

Dengan sejuta kes terbaru yang direkodkan hanya dalam 11 hari, yang merupakan rekod dunia, India kini mempunyai 5.02 juta, tetapi jumlah kes positif di Amerika Syarikat lebih banyak, iaitu 6.59 juta kes.

Jumlah kes harian di India sudah lama mendahului negara lain, dan hari ini, ia mencatatkan tambahan 90,000 kes dengan rekod 1,290 kematian.

Sebelum ini, India mengambil 167 hari untuk mencecah sejuta kes, tetapi sejuta kes berikutnya dicatatkan dalam 21 hari, lebih cepat berbanding AS dan Brazil, menurut laporan Times of India.

Dalam 29 hari kemudian, India menjadi negara ke-3 di dunia, selepas AS dan Brazil untuk mencapai 4 juta kes positif Covid-19. Jumlah kes koronavirus di India mengatasi Brazil awal bulan ini.

Pun begitu, dengan sejuta ujian saringan yang dijalankan ke atas rakyat di negara itu kini, ramai pakar berpendapat ia tidak mencukupi dan jumlah sebenar kes mungkin lebih tinggi.

Ini ditunjukkan menerusi beberapa kajian analisis antibodi melawan virus itu dalam kalangan penduduk di New Delhi dan Mumbai beberapa minggu ini.

Majlis Penyelidikan Perubatan India, agensi pandemik utama negara itu, berkata tinjauannya pada minggu lalu mencadangkan 6.5 juta orang dijangkiti Covid-19 pada Mei lalu.

Begitu juga 82,066 kematian setakat Rabu, kurang separuh daripada 195,000 kematian di AS – dengan banyak kematian tidak direkodkan dengan teliti oleh pihak berkuasa walaupun pada waktu biasa.

‘Isyarat salah’

Sistem penjagaan kesihatan di India antara yang paling kurang pembiayaan di seluruh dunia, dengan kebanyakan daripada 1.3 bilion penduduknya tinggal di kawasan padat.

Kes meningkat secara mendadak walaupun sekatan pergerakan yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi akhir Mac lalu antara yang paling ketat di dunia, menyebabkan berpuluh juta pekerja dalam pasaran buruh tidak rasmi kehilangan kerja hampir semalaman.

Sekatan pergerakan itu menyaksikan larangan perjalanan secara menyeluruh, penutupan perniagaan dan kilang, serta penerbangan berjuta pekerja migran miskin dari bandar besar ke kampung halaman yang didakwa pakar sebagai punca penularan virus dari kawasan bandar ke pekan.

Keluaran dalam negara kasar India merosot hampir 24% pada suku pertama, satu daripada kejatuhan paling besar dalam kalangan ekonomi utama dunia.

Sekatan pergerakan dilonggarkan secara beransur-ansur ketika peningkatan kes Covid-19, dengan beberapa kelas di sekolah dijadualkan dibuka pada Isnin – bersama destinasi pelancongan utama, Taj Mahal.

“Pada mulanya, sekatan pergerakan agak ketat, tetapi sedikit kelonggaran diberikan kemudian, sebelum ia ditarik balik sepenuhnya,” kata K Srinath Reddy, ketua kebajikan kesihatan Yayasan Kesihatan Awam India kepada AFP.

“Ia memberi isyarat salah kepada rakyat yang kita mungkin berjaya mengawal keadaan dan kini ekonomi menjadi keutamaan. Virus itu kini menjangkiti lebih ramai orang dan menembusi pekan lebih kecil.”