Najib cemuh Warisan isu janji manifesto

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak mencemuh Warisan selepas Presiden Shafie Apdal mempertikaikan dapatkah atau bolehkah manifesto Gabungan Rakyat Sabah dilaksanakan dan dicapai.

Najib berkata manifesto Warisan pada pilihan raya umum ke-14 tidak ditunaikan.

“Warisan janji ketua menteri tak boleh pegang menteri kewangan tapi terus melantik sendiri sebagai menteri kewangan sebulan selepas jadi ketua menteri,” katanya di Facebook hari ini.

“Warisan janji akan hadkan jawatan ketua menteri untuk 2 penggal. Janji ini langsung tak ditunaikan malah had tempoh 2 penggal Yang di-Pertua sedia ada pula dimansuhkan Warisan,” tambahnya.

Najib juga menarik perhatian kepada janji akan kembalikan royalti minyak 20% dan 50% cukai.

“Di mananya?” soalnya.

Antara lain yang disentuh bekas presiden Umno itu adalah janji 33% peruntukan pembangunan daripada belanjawan tahunan kerajaan persekutuan akan diberi kepada Sabah dan Sarawak, “tetapi yang dapat cuma 17.1% sahaja”; dan penerusan projek empangan yang dijanji akan dibatalkan.

“Projek diteruskan selepas dijenamakan semula menjadi empangan Papar,” katanya.

Najib juga mendakwa pertumbuhan ekonomi Sabah daripada “paling tinggi bawah Barisan Nasiona” bertukar ke “paling corot antara semua negeri” untuk 2 tahun berturut-turut.

Terdahulu, Shafie ketika diminta mengulas manifesto yang bakal diumumkan GRS hari ini dilapor berkata manifesto hanya akan kekal manifesto jika tiada pelaksanaan.

Katanya, manifesto Warisan sebenarnya hanya visi dan misi untuk melaksanakan apa yang ia lakukan sebelum ini.

Najib sempat mencabar pemimpin PH untuk menafikan senarainya itu.

“Geng ‘manifesto bukan kitab suci’ ada hati mempertikaikan manifesto PN?” katanya.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah