Pejabat Kesihatan Tawau kesan kontak rapat mangsa kemalangan maut positif Covid-19

Pejabat Kesihatan Tawau sedang mengesan semua kontak rapat mangsa bagi melakukan ujian saringan Covid-19, termasuk pegawai dan anggota polis yang mengendalikan kes, keluarga serta orang perseorangan yang membantu mengangkat mayat mangsa. (Gambar Facebook)

TAWAU: Pejabat Kesihatan Tawau sedang mengenal pasti semua individu yang mempunyai kontak rapat dengan mangsa kemalangan maut di Jalan Chong Thien Vun pada Sabtu, selepas wanita itu disahkan positif Covid-19.

Pegawai Kesihatan Tawau Dr G Navindran berkata, wanita berusia 75 tahun itu maut selepas terbabit kemalangan jalan raya berhampiran kawasan perumahannya.

“Ketika ini, kami sedang mengesan semua kontak rapat mangsa bagi melakukan ujian saringan Covid-19, termasuk pegawai dan anggota polis yang mengendalikan kes, keluarga serta orang perseorangan yang membantu mengangkat mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan wanita itu maut dirempuh sebuah kereta di jalan berkenaan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli makanan untuk sarapan di premis makanan berhampiran.

Difahamkan, wanita itu disahkan positif Covid-19 hari ini.