Pelitup muka murah, keselamatan diragui di pasaran

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid berkata pelitup muka itu sedang dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi memastikan kualitinya. (Gambar Bernama)

SUNGAI BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan penjualan pelitup muka berharga semurah 50 sen di pasaran namun kualitinya tidak mematuhi piawaian ditetapkan.

Timbalan menterinya Rosol Wahid menasihati pengguna berhati-hati ketika membeli pelitup muka berharga jauh lebih murah daripada harga siling supaya tidak terdedah bahaya lain.

“Pelitup muka ini dijual dengan harga 50 sen dan penjual dakwa ia merupakan pelitup muka 3 lapis, bagaimanapun pemeriksaan mendapati bahan digunakan agak meragukan.

“Pelitup itu berdebu dan boleh menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutup program kembara pengguna dan peniaga KPDNHEP Selangor di Sekinchan hari ini.

Katanya, pelitup muka itu sedang dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi memastikan kualitinya dan tidak menolak kemungkinan 1 peraturan akan dibuat supaya hanya pelitup muka memenuhi piawaian ditetapkan sahaja boleh dijual demi menjamin keselamatan pengguna.

Kerajaan pada Ogos lalu menetapkan harga siling bagi pelitup muka RM1 sehelai.