Pemuda PAS pertahan usul tanding 50 kerusi, terbuka terima kritikan

Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin berharap PAS diberi peluang bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen.

PETALING JAYA: Pemuda PAS mempertahankan usul parti itu bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya Khairil Nizam Khirudin berkata, usul berkenaan hanya cadangan dan harapan sayap itu supaya PAS diberi peluang bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi.

Katanya, sayap itu bagaimanapun menghormati apa juga keputusan selepas berbincang secara konsensus dengan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan berikrar memperkukuh Muafakat Nasional (MN).

Menurutnya, usul itu juga datang ketika ini memadangkan muktamar merupakan platform parti itu meluah dan memberikan cadangan kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan.

“Itu (jumlah 50 kerusi Parlimen) cadangan dan harapan, kalau dapat Alhamdulillah. Apa pun kami tetap bersama memperkukuh MN,” katanya kepada FMT.

Khairil berkata, Pemuda PAS juga menerima dengan hati terbuka jika pemimpin daripada sekutu mereka dalam MN yang mengkritik usul berkenaan.

“Kita terbuka menerina teguran dari (sekutu) kita,” katanya.

Memetik laporan sebuah portal Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Shahidan Kassim berkata, kenyataan mengenai agihan kerusi Parlimen pada PRU15 tidak wajar dikeluarkan memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah masih berlangsung.

Ia selepas Pemuda PAS meluluskan usul supaya parti itu bertanding sekurang-kurang-kurang 50 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, kata Shahidan MN akan memutuskan kemudian soal kerusi pada PRU15.

Usul itu dikemukakan Pemuda PAS Bagan Serai, kemudian dibuka untuk dibahaskan sebelum ia dipersetujui sepenuhnya oleh perwakilan muktamar Pemuda PAS kali ke-61 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Kota Bharu, Kelantan, minggu lalu.