Putrajaya digesa dedah penemuan RCI Wang Kelian

Sebuah daripada kem yang ditinggalkan di Wang Kelian, Perlis, di mana lebih 100 rangka manusia dipercayai milik pelarian Rohingya ditemui. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan hak asasi manusia antarabangsa menggesa Putrajaya mendedahkan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian, Perlis 5 tahun lalu.

Fortify Rights yang berpangkalan di Bangkok, berkata rakyat Malaysia dan mangsa terselamat berhak mendapat akses ke atas penemuan laporan akhir itu kerana ia mengenai kebenaran, keadilan dan akauntabiliti.

“RCI diberikan mandat untuk mengheret pelaku ke muka pengadilan dan itu belum berlaku. Kerajaan perlu bertindak.

“Tiada perubahan dalam dasar dan malah tiada kenyataan awam rasmi mengenai jenayah yang dilakukan,” kata CEO Fortify Rights, Matthew Smith dalam kenyataan hari ini sempena pelancaran sebuah filem pendek kumpulan itu mengenai kubur beramai-ramai di Wang Kelian.

NGO itu berkata, Januari lalu, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Muhyiddin Yassin mengumumkan laporan itu akan diserahkan kepada Kabinet sebelum menentukan mengenai pendedahan penemuannya.

“Tiada maklumat lanjut mengenai laporan itu susulan pengumuman ini,” katanya sambil menambah hampir setahun sejak RCI menyerahkan laporan itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Fortify Rights menekankan reaksi berbeza Thailand selepas penemuan kubur beramai-ramai itu pada 2015, dengan mahkamah di negara itu menyabitkan 62 individu, termasuk 9 pegawai kerajaan atas penyeludupan etnik Rohingya dan warga Bangladesh melalui Thailand ke Malaysia.

Katanya, mahkamah di Malaysia pula hanya menyabitkan 4 individu atas kesalahan berkaitan penyeludupan manusia berhubung kubur beramai-ramai di Wang Kelian itu, dengan tiada tertuduh yang terdiri daripada rakyat Malaysia.

Menurutnya, Malaysia diklasifikasikan sebagai negara “Tahap 2 Pemerhatian” dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) Amerika Syarikat, ranking ke-2 terendah, dengan mengambil kira isu Wang Kelian.

“Walaupun terdapat dakwaan pembabitan rasmi dalam jenayah penyeludupan dan pemerdagangan migran berkaitan penemuan kem pendatang asing dan kubur beramai-ramai di Wang Kelian pada 2015, pihak berkuasa tidak mendakwa mana-mana pegawai atau rakyat Malaysia,” menurut laporan TIP 2020.

Lebih 100 rangka manusia dipercayai milik pelarian Rohingya ditemui dan hampir 150 kubur dijumpai di Wang Kelian pada 2015.

RCI itu yang diketuai bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria, dengan dibantu panel yang dianggotai Noorbahri Baharuddin, Razali Ismail, Junaidah Abd Rahman, Nazirah Hussain serta Tan Seng Giaw.

Walaupun 4 individu didakwa di mahkamah berhubung perkara itu, pengkritik berkata, mereka hanya penyeludup kecil-kecilan.