RCI salah laku kehakiman harus babit era PH, kata bekas pemimpin DAP

Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata sokongan terbuka bekas ketua hakim negara Richard Malanjum kepada Warisan menimbulkan “keraguan serius” mengenai kebebasan badan kehakiman. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas naib presiden Transparency International Tunku Abdul Aziz Ibrahim menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai salah laku dalam sistem kehakiman diperluaskan skopnya kepada ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga bekas naib pengerusi DAP berkata, siasatan juga harus membabitkan pelantikan hakim dan keputusan kehakiman dibuat sepanjang 22 bulan pentadbiran PH.

Katanya, ia berikutan tindakan bekas ketua hakim negara, Richard Malanjum yang menyatakan sokongan secara terbuka kepada Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Aziz, yang membantu menubuhkan Transparency International Malaysia menyatakan, ia menimbulkan “keraguan serius” mengenai kebebasan badan kehakiman.

“Ramai antara kita yang telah memberikan fokus pada kebebasan kehakiman mungkin dapat dimaafkan kerana bimbang sesuatu tidak kena dengan pentadbiran sistem keadilan jenayah kita. Kepentingan utama sistem kehakiman bebas tidak harus terlampau ditekankan.

“Sekiranya warganegara kita tidak dapat keadilan di mahkamah, di mana mereka hendak mendapatkannya?,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendesak untuk mempercepatkan pembentukan RCI bagi menyiasat salah laku yang didedahkan dalam afidavit difailkan Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer pada 2019.

Suhakam menegaskan walaupun Putrajaya pada Februari 2019 mengumumkan untuk menubuhkan RCI bagi tujuan itu, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenainya.

Desakan itu wujud selepas Hamid dikatakan memberikan jawapan yang keras terhadap surat tunjuk sebab diberikan kepadanya bagi menegaskan afidavit dibuatnya sebelum ini bahawa seorang hakim kanan telah campur tangan dalam pelbagai keputusan termasuk membabitkan kes hasutan Karpal Singh.

Sumber memberitahu FMT, dipercayai hakim kanan berkenaan yang dijadualkan bersara tahun depan tetap dengan segala isi kandungan dalam afidavit itu selain penghakimanya setebal 101 muka surat yang disampaikannya pada awal Jun.

Ia adalah kali pertama surat tunjuk sebab diberikan kepada hakim sejak kod etika diwujudkan pada 2009.